GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri hari ini menyambut baik pelaksanaan Sistem Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) di bawah seliaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Mewakili Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata demikian semasa merasmikan Program Sambutan Memperingat 20 Tahun Peristiwa Tsunami Melanda Lautan Hindi Peringkat ASEAN di sini pada 5 November 2024.
“Selama dua dekad terakhir, Malaysia telah mengambil langkah-langkah penting untuk memperkuat (tahap) kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana dengan melengkapkan warganegaranya dari segi pengetahuan dan peralatan bagi menghadapi risiko bencana serta (pelan) tindak balas secara efektif ketika bencana berlaku.
“Di bawah seliaan NADMA, inisiatif seperti CBDRM ini akan memperkuat ketahanan Malaysia serta meningkatkan kemampuan negara untuk menghadapi risiko bencana pada masa hadapan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang.
Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang, agensi-agensi negeri dan persekutuan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam proses menyelamat dan membangunkan semula negeri pasca bencana tsunami pada 26 Disember 2004 lalu.
Berucap sebelum itu, Pengerusi Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) Brunei Darussalam bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana ASEAN, YM Kolonel (B) Muhammad Harrith Rashidi Muhammad Jamin antara lain berkata persidangan selama sehari sejak 8.30 pagi tadi diharap akan memperkukuh kerjasama peringkat serantau dalam menghadapi risiko bencana pada masa hadapan.
“Sesungguhnya acara pada pagi ini bukan sekadar untuk memperingat peristiwa (tsunami) yang terjadi pada tahun 2004 dahulu, malah suatu peluang untuk semua pihak berkepentingan berusaha melakukan sesuatu secara bersama,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada NADMA (agensi persekutuan) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang selaku tuan rumah persidangan berkaitan.
Dalam sidang media selepas itu, Timbalan Ketua Pengarah NADMA, Zamakhshari Fanipah berkata, persidangan pada hari ini adalah sangat signifikan kerana memperingati mangsa-mangsa tsunami meliputi kawasan seperti Batu Feringghi dan Teluk Bahang di Pulau Pinang, serta Kedah (Kuala Muda, Kuala Kedah dan Pantai Cenang – Langkawi).
“Gempa dengan kekuatan 9.1 hingga 9.3 skala Richter di Lautan Hindi pada 26 Disember 2004 iaitu bencana tsunami turut meninggalkan kesan berantai di beberapa kawasan dekat Malaysia (yang mana) 68 mangsa meninggal dunia, enam orang masih hilang dan 1,535 unit bangunan telah musnah.
“Persidangan hari ini merupakan suatu agenda peringkat ASEAN yang mana Negeri Pulau Pinang telah dipilih sebagai salah satu lokasi penganjuran program memperingat 20 tahun peristiwa tsunami ini, selain Jakarta (negara Republik Rakyat Indonesia) dan Phang Nga (Thailand),” jelasnya lagi.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Zulkifli Long; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; bekas Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan Pasca Bencana NADMA, Dato’ Muhammad Yusoff Wazir; dan Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Ambun Dindang antara yang turut sertai persidangan tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN