GEORGE TOWN – Perbarisan dan Perarakan Hari Kemerdekaan Ke-67 Peringkat Negeri Pulau Pinang dengan tema ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ berlangsung di Padang Kota Lama dekat sini pada 31 Ogos 2024.
Acara rasmi Kerajaan Negeri itu diserikan dengan ketibaan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor.
Mereka berdua diiringi oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Seri Law Choo Kiang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis Rasmi Kerajaan; Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Rosli Isa.
Di khemah utama kelihatan, barisan Exco Kerajaan Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan barisan Ahli Parlimen serta para tetamu kenamaan lain.
Sementara di sepanjang Jalan Padang Kota Lama yang bertentangan dengan Dewan Bandaraya di sini kelihatan rakyat pelbagai bangsa berhimpit serta langsung tidak berganjak sungguhpun dalam hujan renyai bagi menyaksikan acara perbarisan serta perarakan pelbagai kontinjen berseragam warna-warni.
Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Untuk Negeri Kita, disusuli istiadat pemeriksaan barisan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) oleh Tun Ahmad Fuzi sendiri.
Seusai acara melafaz ikrar Rukun Negara dan nyanyian beberapa lagu patriotik, barulah acara perbarisan pelbagai kontinjen terdiri daripada ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi-agensi kerajaan, pasukan pakai seragam sekolah dan sebagainya berbaris memasuki ruang utama sambil memberi tabik hormat kepada barisan pemimpin negeri.
Tidak ketinggalan adalah pelbagai acara tarian kebudayaan pelbagai etnik dan koir pentas lain, dengan mesej muhibah dan perpaduan rakyat Malaysia yang majmuk.
Paling mencuri tumpuan adalah aksi demonstrasi bersenjata oleh Pasukan Senoi Praaq iaitu satu pasukan khas PDRM yang sangat dihormati kerana peranan mereka menjejaki anasir gerila bersenjata dalam hutan belantara semasa negara masih dalam era Darurat, sejak pada tahun 1957.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN & AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & ALISSALA THIAN