Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
BATU MAUNG – Pulau Pinang bersedia memperbanyakkan produk – produk pelancongan baharu, disamping memasyhurkan lagi kawasan pelancongan sedia ada dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini, ujar KetuaMenteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.
Beliau berkata, selain makanan dan tempat-tempat menarik, turut boleh dibanggakan adalah seni warisan dan masyarakat majmuk berbilang bangsa yang merupakan keunikan di sini.
“Kita berbangga apabila syarikat penerbangan tambang murah Citilink Indonesia memilih Pulau Pinang sebagai destinasi dan negeri pertama dalam negara untuk penerbangan terus tersebut.
“Ini merupakan peluang bagi menghubungkan secara terus pelancong Indonesia ke Pulau Pinang sama ada untuk bersiar-siar atau bagi tujuan pelancongan perubatan, ” ucapnya pada Majlis Menyambut Ketibaan Pertama Penerbangan Citilink dari Jakarta Ke Pulau Pinang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang; Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng; Pengurus Besar Pemasaran Malaysia Airports Berhad, Mohamed Sallahudin Mat Sah dan Ketua Pegawai Kewangan Citilink Indonedia, Fransetya Hutabarat.
Citilink Indonesia merupakan syarikat penerbangan tambang murah milik Garuda Indonesia Group yang akan melakukan penerbangan setiap hari menghubungkan Pulau Pinang dan Jakarta.
Malah, syarikat penerbangan tersebut turut diiktiraf oleh Skytrax sebagai penerbangan bertaraf empat bintang.
Susulan Pulau Pinang kini mampu menarik kedatangan ramai pelawat, Guan Eng sekali lagi menegaskan kepentingan pembesaran PIA kepada kapasiti 12 juta penumpang.
“Kapasiti penumpang telah mencecah 7.2 juta penumpang tahun lalu.
“Diharap apabila pembesaran ini kelak, Citilink dapat menambah lagi jumlah bilangan penerbangan harian kepada tiga kali setiap hari,” ujarnya.