GEORGE TOWN – Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak memuji pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam memakmurkan kehidupan rakyat, sungguhpun dalam keadaan persekitaran ekonomi global yang tidak menentu ketika ini.
Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang berkenaan menzahirkan perkara itu semasa berucap dalam Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Sempena Sambutan Ulang Tahunnya Ke-75 di Dewan Sri Pinang pada 27 Julai 2024.
“Saya bersyukur atas nikmat dan kurniaan Allah S.W.T. kerana sepanjang tempoh saya sebagai Yang Dipertua Negeri (TYT), tiada gambaran atau ungkapan dapat dizahirkan tentang peri eloknya lakaran potret keamanan serta kemajuan yang telah dicapai oleh bumi bertuah ini.
“Pada kesempatan ini, izinkan saya melafazkan ucapan terima kasih kepada Y.A.B. Ketua Menteri atas ucapan ikrar taat setia bagi pihak Kerajaan, anggota perkhidmatan awam dan seluruh rakyat negeri Pulau Pinang,” jelasnya sambil menyeru semua pihak menyemarak perasaan cintakan negeri Pulau Pinang.
Turut mengiringi, isteri TYT, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor.
Berucap sebelum itu, Kon Yeow memberitahu Tun Ahmad Fuzi bahawa pentadbirannya dan rakyat jelata negeri Pulau Pinang tanpa berbelah bahagi turut menyatakan ikrar taat setia kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong dan negara Malaysia yang tercinta.
“Sesungguhnya, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, kesetiaan ini dijunjung dengan kalimat Rukun Negara, bertunjangkan jati diri dan integriti kukuh disemarak dengan obor cintakan negara demi keamanan dan kemakmuran ‘Negeri Kita’,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Seperti dinasihatkan oleh Tun Ahmad Fuzi, Kon Yeow menyatakan bahawa pentadbirannya menyedari bahawa persekitaran ekonomi global yang tidak menentu turut memberi cabaran kepada iklim ekonomi negeri.
Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, Pulau Pinang kekal sebagai negeri pengeksport utama Malaysia bagi tempoh Januari hingga Mei 2024 dengan nilai RM177.99 bilion.
“Walaupun prestasi ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.6 peratus pada tahun 2023 berbanding 8.9 peratus pada tahun sebelumnya, Pulau Pinang pula mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus pada tahun 2023.
“Nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri ini adalah RM116 bilion, meningkat daripada RM112.3 bilion pada tahun sebelumnya, dengan kenaikan sebanyak RM3.7 bilion,” ujarnya.
Di samping itu, beliau memberitahu bahawa Pulau Pinang juga mencatatkan peningkatan daripada RM69,789 kepada RM72,586 iaitu sebanyak RM2,797 dalam KDNK per kapita serta prestasi tersebut adalah melebihi paras nasional yang diunjurkan iaitu sebanyak RM54,612.
“Secara keseluruhannya, ekonomi Pulau Pinang menyumbang 7.4 peratus kepada ekonomi negara, dan sumbangan ini kekal sama berbanding tahun sebelumnya dan terus mengekalkan Pulau Pinang di kedudukan kelima kuasa ekonomi di negara ini,” ulasnya lanjut.
Sebelum itu, Tun Ahmad Fuzi menyempurnakan acara pemeriksaan perbarisan bagi istiadat berkaitan di dataran Dewan Sri Pinang dengan iringan 17 das tembakan meriam serta lagu Negaraku yang dimainkan oleh pasukan pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Selain Kon Yeow, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; barisan Exco Kerajaan Negeri serta tetamu jemputan lain turut menyaksikan acara pembukaan penuh istiadat tersebut.
Difahamkan, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan pada hari pertama ini adalah melibatkan 235 penerima.
Selama empat hari sehingga 1 Ogos ini, kesemua 1,204 individu disenaraikan sebagai penerima Bintang dan Pingat Kehormatan negeri.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB