GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menyasarkan pemasangan 600 Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (EVCB) di seluruh Pulau Pinang, termasuk 300 unit di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada tahun ini.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, sasaran itu adalah selari dengan usaha Kerajaan Persekutuan untuk memasang 10,000 unit EVCB di seluruh negara.
Menurutnya, setakat ini Charge Sini iaitu firma bukan kerajaan yang dilantik telahpun memasang 52 EVCB di 26 lokasi sekitar bahagian Pulau
“Kita hanya tunggu pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bekalkan tenaga dan sokongan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi dalam sidang media berkaitan di Gat Lebuh China di sini pada 13 Mac 2025.
Menurutnya, 26 lokasi pemasangan EVCB iaitu di Persiaran Karpal Singh; Jalan Concordia; Precint 10; Lebih Union; Gat Lebuh China; Pasar Tanjong Bungah; Gat Lebuh Gereja; Lebuh Cintra; Jalan Masjid Negeri (Berjaya Gallery); Pasar Kompleks Jalan Permai; TLK Jalan Lenggong (Jalan Lenggong/Jalan Jelutong); Lebuh Pasar (Lebuh Pantai – Lebih Penang); Pasar Batu Lanchang; Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim; TLK Jalan Pasar/Jalan Balik Pulau (Kek Lok Si); Lebuh Dickens; Jalan Arratoon; Pasar Rajawali; Pasar Bayan Baru; Jalan Servis Off Jalan Balik Pulau (hadapan 7Eleven Simpang Empat); Pasar Lengkok Kelicap; Jalan Sungai Air Putih; Kompleks Sukan Relau; Medan Kampung Relau 1 (Maybank); Jalan Khidmat Jalan Paya Terubong (Golden Triangle) dan Pasar Telur Kumbang Heights dijangka boleh digunakan pada bulan April depan.
Tambahnya lagi, penggunaan pengecasan cepat EVCB jenis pengecasan DC dengan kapasiti tenaga 60 kilowatt (kW) akan dikenakan bayaran RM1.19 setiap kilowatt jam (kWj); dan RM1.09/kWj bagi EVCB jenis pengecasan biasa (AC Charger 22kW).
“Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) komited untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan bagi negeri Pulau Pinang.
“MBPP juga sedang dalam proses untuk melaksanakan Pemohonan Untuk Cadangan (RFP) Fasa 2 bagi pemasangan EVCB di kawasan MBPP (iaitu) di 27 lokasi tambahan dan dijangka siap pada Disember 2025,” jelasnya lagi sambil mengharapkan pihak swasta turut mengambil bahagian untuk membiayai projek pemasangan EVCB di negeri ini pada masa depan.
Bercakap dalam sidang media sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran memberitahu bahawa sebelum ini sejumlah 261 unit EVCB telahpun dipasang oleh pihak swasta dan sedia digunakan oleh pengguna kenderaan elektrik (EV).
Masih tidak berpuas hati dengan bilangan EVCB yang ketika ini sudah melebihi 300 unit di bahagian Pulau, beliau berkata pentadbirannya turut mensyaratkan penyediaan 2 peratus daripada jumlah parkir bagi projek-projek pembangunan baharu.
Pengurus Besar TNB Negeri Pulau Pinang, Ir. Ts. Norhizami Abu Hasan dan Pengurus Operasi Chargehere EV Solutions Sdn. Bhd., Tee Kah Yong (selaku wakil pemaju projek Charge Sini) turut sertai sidang media berkaitan di sini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN