Pulau Pinang sasar 70% premis makanan capai kebersihan Gred A menjelang 2020

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang meletakkan sasaran untuk memastikan 70 peratus premis makanan di negeri ini mencapai tahap kebersihan Gred A menjelang tahun 2020.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, pihaknya telah mengarahkan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT), iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk meningkatkan pemantauan berkala dan penguatkuasaan terhadap semua kedai makan serta restoran di negeri ini.

“Selaras dengan laungan, ‘Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat’, usaha dalam memastikan premis makanan menyediakan makanan mencapai piawaian yang ditetapkan sudah dimulakan sejak tahun 2017.

“Malah sejak kebelakangan ini, MBPP dan MPSP telah mempergiatkan lagi usaha dalam memastikan premis-premis makanan di Pulau Pinang mencapai 70 peratus Gred A dan 30 peratus Gred B menjelang tahun 2020.

Sasaran ini adalah untuk memastikan jolokan Pulau Pinang sebagai ‘Syurga Makanan di Malaysia’ terus kekal tanpa perlu merasa ragu-ragu terhadap tahap kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual di negeri ini,” ujarnya pada sidang media di Komtar, pagi ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir Addnan Mohd. Razali; Pengarah Perkhidmatan Kesihatan MPSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor; Pengarah Bahagian Pelesenan MBPP, Azmam Sirun serta wakil daripada Bahagian Kerajaan Tempatan.

Menurut Jagdeep, setakat 14 Julai 2019, sebanyak 52 premis di bahagian pulau dan Seberang Perai (68) telah diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dalam operasi bersepadu yang diadakan bersama-sama PBT, masing-masing.

“Tindakan penutupan ini disebabkan pengendali atau pengusaha premis tidak mematuhi piawaian di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

“Selain itu, terdapat masalah haiwan perosak atau persekitaran tidak bersih yang boleh membawa penyakit bawaan seperti leptospirosis, keracunan makanan, tifoid dan lain-lain rentetan tidak menjalankan aktiviti kawalan serangga perosak oleh pengendali premis.

“Oleh itu, pengusaha berkenaan diminta menutup premis dan melaksanakan kerja-kerja pembersihan bagi memastikan premis mereka bersih, selamat serta sihat untuk dikunjungi,” katanya yang memandang serius aspek kebersihan dan keselamatan premis makanan di negeri ini.

JAGDEEP Singh Deo (dua dari kanan) ketika mempengerusikan sidang media di Komtar pagi ini.

Jelas beliau, tindakan tegas perlu diambil kepada pengusaha dan pengendali premis makanan yang ingkar agar status keselamatan dan kebersihan makanan terjamin.

Jagdeep dalam pada itu turut bersetuju dengan cadangan Rozali, sebelum itu, yang mahu mengadakan kursus penjenamaan semula kepada semua pemilik premis makanan di MPSP mulai September ini.

“Saya sokong tindakan MPSP yang mengambil tindakan mendidik pengendali premis makanan dengan mengadakan kursus, malah saya galakan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil langkah sama termasuk memberi khidmat nasihat kepada pengusaha premis makanan.

“Saya juga bersetuju dengan cadangan untuk meminda Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan yang akan memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengarahkan penutupan premis sekiranya gagal mencapai skor yang ditetapkan.

“(Dan) saya difahamkan bahawa kuasa mengarahkan untuk penutupan premis kini hanya boleh dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (Pulau Pinang) sahaja, jadi dengan pindaan ini akan memberi kelebihan dari segi kawalan kepada pihak berkuasa tempatan, iaitu MBPP dan MPSP,” ulasnya.

Sebagai rekod, sehingga kini terdapat 1,381 premis makanan berlesan yang telah diperiksa dan dinilai oleh MBPP yang mana 30.6 peratus atau 423 premis mencapai skor antara 86 – 100 dengan penarafan Gred A, dan Gred B dengan skor antara 71 – 85 (878).

Sebanyak 80 premis diberi penarafan Gred C dengan skor 51 – 70 dan baki 463 premis lagi sedang dinilai dan digredkan.

Bagi MPSP pula, daripada 2,141 premis makanan, 292 mendapat Gred A, Gred B (530) dan Gred C (1,319).

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD