GEORGE TOWN – Pulau Pinang menyasarkan untuk menjana 10 peratus tenaga daripada tenaga boleh baharu (TBB) menjelang tahun 2030.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata bagi mencapai matlamat itu, Kerajaan Negeri telah melancarkan Rangka Kerja Tenaga Negeri Pulau Pinang (PEF) pada 16 November lalu.
Beliau berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri terhadap prinsip ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) sekali gus mengubah Pulau Pinang menjadi sebuah negeri hijau dan mampan.
“Rangka Kerja ini adalah hasil daripada Jawatankuasa Pasukan Petugas Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan Kecekapan Tenaga (KT) Pulau Pinang yang ditubuhkan pada tahun 2020.
“Rangka kerja ini terdiri daripada pegawai awam dan swasta yang mewakili pelbagai agensi teknikal termasuk badan profesional serta industri.
“Hal ini bagi memastikan sasaran dan pelan tindakan yang dirumuskan adalah praktikal bagi semua pihak berkepentingan,” katanya dalam sesi penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini sebentar tadi.
Zairil berkata, Kerajaan Negeri juga komited untuk mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 25 peratus bermula dengan bangunan kerajaan sebagai sebahagian daripada fasa pertama.
“Kita akan mewajibkan semua bangunan awam baharu untuk menjana sekurang-kurangnya 5 peratus tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui bermula tahun 2025, dengan bangunan awam sedia ada digalakkan untuk melakukan perkara yang sama.
“Dari aspek kecekapan tenaga, semua bangunan bukan kediaman sama ada awam dan swasta digalakkan untuk melaporkan nilai Indeks Tenaga Bagunan (BEI) secara sukarela.
“Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga akan melancarkan Skim Penarafan Tenaga Bangunan Pulau Pinang, yang akan membantu Kerajaan Negeri menilai dan menambah baik prestasi penggunaan tenaga di negeri in,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS