Pulau Pinang sasar kerja tambak ‘Silicon Island’ suku ketiga 2023, respons Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan di Komtar pada 3 Mei 2023.

GEORGE TOWN – Diberi nama sebagai ‘Silicon Island’, pembangunan utama di atas tanah Pulau A iaitu salah satu dari tiga pulau buatan di bawah projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pulau Pinang (PSI) adalah terdiri daripada taman perindustrian berteknologi tinggi yang dikenali sebagai ‘Green Tech Park’ (GTP).

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa GTP bakal dilengkapi dengan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta infrastruktur teknologi digital, e-dagang dan juga proses penyumberan luaran (BPO).

Menurut Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, lokasi GTP dan BPO yang akan diwujudkan di atas tanah ‘Silicon Island’ tersebut adalah amat strategik kerana berhampiran dengan Zon Industri Bebas (FIZ) Bayan Lepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) juga Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzan Shah (jambatan kedua Pulau Pinang).

“Kita (Pihak Berkuasa Negeri) perlu terlebih dahulu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu yang mana di bawah Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP), kita akan mencermati bagaimana semua syarat-syarat berkaitan mesti dipatuhi.

“Selepas mendapatkan semua kelulusan berkaitan, saya berpendapat barulah kerja-kerja penambakan laut boleh dimulakan paling awal pada suku ketiga tahun ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong kepada pemberita di Komtar pada 3 Mei 2023.

(Dari kiri) FARIZAN Darus, Zairil Khir Johari, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Ketua Menteri, P. Ramasamy dan Mohd. Sayuthi Bakar dalam sidang media berkaitan di Komtar pada 3 Mei 2023 masing-masing mengangkat plakad ilustrasi ‘Silicon Island’.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PICSB), Dato’ Seri Farizan Darus dan Timbalan Pengarah Projek SRS, Azmi Mohamad dalam sidang media sama.

Di persisiran pantai ‘Silicon Island’ juga, Kon Yeow memberitahu bahawa akan diwujudkan sebuah pusat komersial yang dikenali sebagai ‘Heart of the Island’ (HOTI) yang akan menghubungkan rangkaian terusan air khas serta akan menjadi salah satu ikon tarikan pelancongan ke negeri Pulau Pinang.

“Kedua-dua perancangan (GTP dan HOTI) ini dinyatakan dalam pelan induk ‘Silicon Island’ dan telah berjaya memperoleh pengiktirafan ‘5 Diamond’ bagi Kategori Reka Bentuk daripada Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) dalam program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 dengan kejayaan mencapai pengurangan karbon sebanyak 45 peratus.

“Pembangunan PSI akan membawa banyak kebaikan kepada ekonomi Pulau Pinang dan Malaysia secara keseluruhannya yang mana dalam tempoh 30 tahun, ia dijangka akan menyumbang impak positif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM2.2 trilion dan RM70 bilion Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan mewujudkan lebih 460,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor,” ujarnya.

Farizan dalam pembentangan khusus berkaitan menyatakan bahawa projek pembangunan masa depan ‘Silicon Island’ antara lain menyebut bahawa kerja-kerja penambahbaikan laut bagi pulau buatan pertama itu dijangka selesai pada tahun 2025; sebelum kerja-kerja pembangunan industri pada tahun 2026 dan operasi GTP pada tahun berikutnya.

Berikut adalah perincian pelbagai inisiatif hijau yang bakal dibangunkan di ‘Silicon Island’:-

• Penggunaan 405 ekar tanah untuk pembangunan taman awam, tanah bencah (wetlends), dataran banjir (floodplain) dan ‘bioswale’;

• Penanaman hutan bakau yang juga berpotensi menjadi kawasan rekreasi popular untuk penduduk tempatan serta pelancong luar;

• Pembinaan terusan air dan rangkaian biru-hijau yang membolehkan pelaksanaan pengangkutan teksi air;

• Penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) di GTP secara 100 peratus;

• Pembinaan rangkaian basikal dan pejalan kaki dengan jarak 110 kilometer (km) untuk melaksanakan mobiliti hijau;

• Pelaksanaan sistem aliran transit ringan (LRT) dan perkhidmatan bas elektrik untuk menggalakkan penggunaan mod pengangkutan awam yang digerakkan dengan tenaga elektrik;

• Pembinaan bangunan tenaga amat rendah yang dilengkapi dengan sistem penyejukan cekap dan berciri-ciri pintar;

• Pelaksanaan perancangan bandar yang lestari, bereka bentuk responsif iklim dan berciri-ciri hijau;

• Pelaksanaan loji rawatan kumbahan dwifungsi, penuaian air hujan dan penggunaan alat penjimatan air untuk mengurangkan permintaan air mentah;

• Pelaksanaan program kitar semula, proses pengemposan dan penguraian makanan untuk mengurangkan sisa di tapak pelupusan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ALISSALA THIAN