Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SHUM JIAN-WEI
GEORGE TOWN – Pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik mampu menjadi pelapis dan harapan negeri pada masa hadapan.
Mantan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri amat komited untuk menjadikannya sebagai pusat kecemerlangan ilmu pada masa hadapan.
“Tambahan pula, Pulau Pinang tidak mempunyai sumber asli seperti balak, minyak dan gas…apa yang kita (Pulau Pinang) ada adalah modal insan.
“(Dan) di ambang Revolusi Industri 4.0 ini, kita semua perlu menguasainya, jika tidak pasti kita akan ketinggalan dan tidak mampu untuk survive.
“Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa memberi tumpuan terhadap dua aspek utama iaitu pendidikan STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) di samping memperluaskan pengetahuan dalam bidang pengekodan,” ucapnya pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2017 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
Guan Eng dalam pada itu turut mengingatkan jasa dan pengorbanan ibu bapa serta guru.
“Janganlah kita lupa dalam meraikan kecemerlangan kita, jasa para ibu bapa dan guru yang selalu memberi galakan untuk kita terus maju jaya.
“(Dan) ingatlah bahawa Kerajaan Negeri juga menghargai pencapaian cemerlang anda.
“Justeru, apabila tamat pengajian nanti, jangan lupa kembali ke Pulau Pinang untuk berkhidmat kerana Pulau Pinang sayang sama anda semua,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada 265 pelajar cemerlang SPM 2017.
Dalam majlis sama, turut menerima penghargaan adalah Pelajar Terbaik SPM, Ahmad Afif Badrol Hisham dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al- Irshad yang memperoleh 11A+ serta lima pelajar istimewa yang menerima Anugerah Khas.
Mereka ialah Kenzon Yeoh dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Georgetown; Muhammad Aliff Fikrie Abu Bakar (SM Arab Tahfiz Pulau Pinang); Jayne Yee Kah Yan (SMK Convent Green Lane); Teoh Zhan Feng (SMK Georgetown) dan Teoh Kok Teo (SMK St. Xavier).
Maktab Rendah Sains MARA Kepala Batas; SMKA Al-Irshad dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Jit Sin pula menerima Anugerah Pencapaian Sekolah Terbaik SPM 2017.