GEORGE TOWN – Pulau Pinang diharap menjadi kuasa sukan untuk tempoh beberapa tahun lagi.
Seruan tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Pulau Pinang 2017/2018 di sini sebentar tadi.
Beliau menyatakan bahawa perkara tersebut merupakan cabaran yang diberikan beliau kepada Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee untuk dijayakan.
“Bagi merealitikan hasrat ini, semua persatuan harus berkolaborasi bersama-sama termasuk pihak penaja, pelajar, atlet serta ibu bapa… kerja bersama-sama,” ucapnya.
Hadir menyempurnakan majlis, Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, Frederick Tan turut hadir sama.
Dalam pada itu, Kon Yeow memaklumkan bahawa untuk meningkatkan prestasi semua atlet, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan program atlet-atlet pelapis.
“Di bawah program ini, seramai 451 atlet sokongan melibatkan 17 jenis sukan sedang diasah bakatnya sebagai pelengkap kepada skuad latihan negeri,” maklum beliau.
Difahamkan, penganjuran majlis tersebut telah diadakan secara dwi-tahunan dan bukannya tahunan mulai 2018/2019.
Dalam pada itu, Lip Chee menyeru semua persatuan Negeri agar melakukan anjakan paradigma serta mempunyai visi, misi dan hala tuju yang jelas untuk melahirkan bakat-bakat baharu secara berterusan membabitkan bidang sukan masing-masing.
“Sememangnya pencapaian cemerlang atlet kita (Pulau Pinang) di arena kebangsaan dan antarabangsa cukup menggembirakan seluruh peminat sukan.
“Kejayaan mereka juga membuktikan bahawa atlet kita mampu pergi jauh dan mencipta kegemilangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Namun, Pulau Pinang sering kali masih berhadapan dengan masalah ketandusan atlet terutamanya barisan pelapis untuk beberapa sukan.
“Justeru, lakukanlah anjakan paradigma, perlu ada misi serta visi untuk melahirkan bakat secara berterusan,” serunya.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALVIE CHENG