Pulau Pinang sebagai pemula pengarusperdanaan gender di Malaysia

Admin
462589364 1080917070700669 594615916523531679 n

BEBERAPA tahun kebelakangan ini, istilah gender telah menjadi satu perkataan yang sering disalah tafsir di Malaysia. Gender bukan sahaja mendapat konotasi negatif dalam perbincangan awam, malah juga mencetuskan ketakutan dan salah faham dalam kalangan masyarakat. Sebahagian besar daripada persepsi ini berpunca daripada kekeliruan antara isu gender dengan orientasi seksual, menyebabkan usaha ke arah kesaksamaan gender menjadi semakin mencabar.

 

Konotasi Negatif Gender di Malaysia

 

Di Malaysia, gender sering disalahertikan sebagai satu ancaman kepada norma budaya dan agama yang kerap dikaitkan dengan isu-isu sensitif seperti feminisme radikal atau agenda Barat yang dianggap bertentangan dengan nilai tradisional. Perkataan ini juga sering menjadi perdebatan hangat dalam media sosial, terutamanya apabila berkaitan dasar atau inisiatif yang dilihat memberi perhatian khusus kepada wanita atau komuniti tertentu.

 

Salah faham ini telah menghalang banyak inisiatif penting yang bertujuan untuk menangani ketidaksamaan yang nyata dalam pelbagai bidang seperti pekerjaan, pendidikan dan kepimpinan. Hakikatnya, pengarusperdanaan gender adalah usaha untuk memastikan setiap dasar, program, dan aktiviti mengambil kira perspektif dan keperluan kedua-dua lelaki dan wanita.

 

Perjalanan Mengarusperdana Gender dari 3Gs kepada DKG

 

Perjalanan Pulau Pinang mengarus perdana gender bermula pada tahun 2008 apabila sebuah kerajaan baharu mengambil alih pemerintahan yang membuka peluang untuk usaha pengarusperdanaan gender. Penubuhan Persatuan Tadbir Urus Baik & Kesaksamaan Gender (3Gs) sebagai kumpulan pemikir kepada Jawatankuasa MMK Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti yang terdiri daripada ahli politik, ahli akademik dan NGO berdaftar bertujuan merangka dan melaksanakan program jangka masa pendek dan panjang ke arah kesaksamaan gender.

 

Pencapaian utama 3Gs adalah penganjuran enam bengkel kerja bertajuk ‘Pengenalan kepada Kesaksamaan Gender’ atau ‘Introducing Gender Equality’  yang telah dianjurkan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin. Penganjuran persidangan bertaraf antarabangsa bertajuk ‘Gender Mainstreaming- Justice For All’  pada 31 Julai 2010 hingga 1 Ogos 2010 di Paradise Beach Hotel yang disertai oleh lebih 200 orang peserta dari dalam dan luar negeri serta turut melibatkan penceramah dari Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Acara ini menjadi pemangkin untuk melobi Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar mengadaptasi pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menangani isu gender dan wanita.

 

pictures2

Pada tahun 2011, usaha dilakukan untuk menyokong program wanita di Pulau Pinang. Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) ditubuhkan dan Kerajaan Negeri menggandakan bajet untuk program wanita. Tujuan utama PWDC adalah mempromosikan kesaksamaan gender dan keadilan sosial melalui program dan advokasi dasar untuk wanita dan komuniti.

 

Pada tahun 2012, projek Bajet Responsif Gender (GRB) dilancarkan sebagai projek perdana PWDC dengan kerjasama dua kerajaan tempatan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk melaksanakan projek perintis di dua kawasan pangsapuri kos rendah dari tahun 2012 hingga 2015.

 

PWDC dan dua PBT menerima Anugerah Pengiktirafan Khas di International Observatory on Participatory Democracy (IOPD) pada tahun 2014 di Brazil atas gabungan inovatif proses penyertaan rakyat dengan langkah-langkah responsif gender melalui projek perintis komuniti. Nama projek GRB kemudiannya ditukar secara rasmi kepada Bajet Penyertaan Rakyat dan Responsif Gender atau Gender Responsive and Participatory Budgeting (GRPB) selepas Persidangan Serantau Asia mengenai GRB: Transformasi Institusi, Pemberdayaan Komuniti, yang diadakan di Pulau Pinang pada tahun 2014.

 

Model GRPB berorientasikan rakyat Pulau Pinang menggabungkan kaedah GRB dan Bajet Penyertaan Rakyat atau Participatory Budgeting (PB) untuk memastikan kepekaan gender dan keterangkuman dilaksanakan bagi mempromosikan kesaksamaan gender dan keadilan sosial. Kedua-dua proses pembajetan ini saling melengkapi dalam mencapai matlamat tersebut.

 

Berikutan kejayaan projek perintis, MBPP dan MBSP memasukkan GRPB ke dalam kitaran bajet mereka. Pelan Tindakan Strategik (PTS) 2016-2018 telah dirangka dengan matlamat untuk menginstitusikan GRPB pada peringkat kerajaan tempatan dan sebagai panduan pelaksanaan GRPB. Pelan ini mengandungi tiga komponen yang sama penting iaitu Struktur dan Mekanisme; Kitaran Bajet; dan Pembangunan Kapasiti untuk kakitangan kerajaan tempatan, ahli politik, pemimpin komuniti, dan orang awam.

 

Selepas pelaksanaan PTS, satu lawatan kajian ke Berlin, Jerman telah diadakan pada Oktober 2018. Delegasi tersebut terdiri daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (EXCO), Pegawai Kewangan Negeri, serta wakil dari MBPP, MBSP, dan PWDC. Hasil utama lawatan kajian ini adalah cadangan dokumen mengenai Pelan Tindakan Strategik untuk Menginstitusikan GRPB di negeri Pulau Pinang yang membawa kepada penggubalan Dasar Keterangkuman Gender (DKG) yang diterima pakai oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada Februari 2019 melibatkan 35 jabatan/agensi di peringkat kerajaan negeri dan dua kerajaan tempatan.

 

Dasar Gender Pertama di Malaysia

 

DKG yang digubal selaras dengan Visi Penang2030 adalah satu manifestasi kepedulian kerajaan Pulau Pinang dalam usaha mengarusperdanakan gender berasaskan kepada Artikel 8, Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan: “Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.”

 

Dasar yang pertama seumpamanya ini di Malaysia menjadi satu kerangka perundangan yang bertujuan memperkasakan penjawat awam dengan kefahaman yang lebih mendalam tentang konsep gender dan bagaimana ia memberi kesan kepada dasar serta perkhidmatan yang mereka sediakan. Penggubalan DKG merintis langkah proaktif yang bukan sahaja bermatlamat untuk mencapai kesaksamaan, malah memperbetulkan salah faham berkenaan gender yang sering disalah erti.

 

Dalam usaha ini, Pulau Pinang menerusi agensi pelaksana DKG iaitu PWDC telah menjalankan pelbagai bengkel dan latihan khusus yang melibatkan penjawat awam di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan sejak tahun 2019. Pendekatan utama yang menjadi asas kepada Strategi Pelaksanaan 1: Latihan dan Pendidikan Secara Berterusan bagi Keterangkuman Gender adalah “mengupas” pengertian gender secara mudah dan praktikal.

 

Tiga perkara diberi penekanan dalam membentuk kecekapan gender dalam kalangan penjawat awam iaitu Kesedaran (Awareness), Pengetahuan (Knowledge), dan Kemahiran Mengaplikasi (Application Skills) yang diterjemahkan dalam Peta Hala Tuju DKG 2019-2030 yang merangkumi penginstitusian pengetahuan, amalan dan kelestarian.

 

pictures

 

Usaha berterusan mengarusperdana gender menerusi kupasan definisi, perungkaian konsep dan pengaplikasian dasar menerusi Taklimat-taklimat DKG di kesemua 35 jabatan dan agensi serta dua PBT semasa Fasa 1: Menginstitusi Pengetahuan membawa kepada maklum balas yang positif biarpun pada awalnya ramai yang skeptikal tentang pelaksanaan dasar ini. Penjawat awam diberi pendedahan bahawa konsep gender bukan hanya tentang wanita, tetapi juga bagaimana lelaki dan wanita dipengaruhi secara berbeza oleh dasar dan keputusan yang dibuat.

 

Sejak itu, perbincangan mengenai gender diadakan secara berterusan menerusi penganjuran siri Gender Talk di peringkat PBT; Perbincangan Meja Bulat DKG kali pertama yang menyentuh soal “Gender dari Perspektif Islam” dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang; sesi interaktif InteraKGameshop; bengkel sensitif gender “Tak Sama Tapi Saksama” (TSTS) khusus untuk penjawat awam lelaki; Penilaian Kendiri Atas Talian dan Bengkel Gender 101 yang dipelopori oleh MBPP; serta Latihan untuk Jurulatih (ToT) dan Analisis Gender yang dimulakan dengan MBSP.

 

Dengan latihan dan sokongan yang berterusan, penjawat awam kini lebih memahami bagaimana setiap keputusan mereka boleh memberi impak secara berbeza kepada lelaki dan wanita, serta cara untuk mengurangkan jurang ini melalui dasar yang lebih terangkum.

 

Mengubah Naratif Gender di Malaysia

 

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Pengalaman Pulau Pinang menunjukkan bahawa salah faham tentang gender boleh diatasi dengan pendidikan, kesedaran dan usaha advokasi yang berterusan serta pendefinisian gender dari konteks tempatan. Penglibatan penjawat awam sebagai peneraju perubahan adalah langkah penting kerana mereka berperanan besar dalam melaksanakan dasar-dasar yang menyentuh kehidupan rakyat.

 

Untuk memastikan pengarusperdanaan gender berjaya di peringkat nasional, adalah penting untuk mengubah naratif umum tentang gender yang mana ia perlu dilihat sebagai usaha untuk membina masyarakat yang lebih adil dan inklusif, bukannya ancaman kepada norma sedia ada.

 

Dengan pendekatan yang strategik dan berterusan, pengalaman Pulau Pinang boleh dijadikan contoh bagaimana pengertian gender dapat dikupas dan diterima secara positif, sekali gus membantu mengubah persepsi negatif yang wujud. Gender bukanlah satu ancaman, tetapi satu alat untuk mencapai keseimbangan dan keadilan bagi semua lapisan masyarakat.

 

Oleh: HAZIQAH NASIRAH ZOL BAHARI, Ketua Bahagian Keterangkuman Gender, PWDC