GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menguatkuasakan kadar cukai tanah baharu termasuk pengkelasan tanah desa kepada bandar pada 1 Januari 2026.
Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pulau Pinang, Dr. Faizal Kamarudin berkata semakan semula kadar cukai tanah dilakukan selepas mengambil kira rekod semakan terakhir yang dibuat 30 tahun lalu iaitu pada 1994.
Beliau berkata, semakan cukai perlu dilakukan bagi meningkatkan hasil Kerajaan Negeri memandangkan cukai merupakan antara penyumbang terbesar kepada hasil negeri Pulau Pinang.
“Semakan cukai yang tidak dibuat selama 30 tahun menyebabkan kutipan hasil cukai tanah bagi Negeri Pulau Pinang tidak berkembang.
“Sebaliknya, nilai tanah di Pulau Pinang telah meningkat dengan amat tinggi dalam tempoh ini sehingga ada lokasi-lokasi yang menyaksikan peningkatan sebanyak 1000 peratus yang sebenarnya memberi kesan positif kepada ramai penilik tanah.
“Pada masa ini Kerajaan Negeri masih meneliti cadangan kadar cukai yang bersesuaian agar tidak membebankan rakyat tetapi pada masa sama mampu membantu meningkatkan hasil negeri,” katanya dalam wawancara khas bersama Buletin Mutiara dekat Pejabat PTG Pulau Pinang di Komtar pada 2 Februari 2025.
Elak ketirisan kutipan hasil
Dr. Faizal berkata, pelaksanaan semakan kadar cukai juga adalah untuk memberi peluang kepada pentadbiran tanah mengemas kini maklumat cukai tanah di bawah sistem e-Tanah.
“Sistem e-Tanah dilihat mampu membantu menyelaras semula kadar cukai tanah untuk seluruh negeri Pulau Pinang berdasarkan lokasi, kegunaan dan pematuhan syarat tanah oleh pemilik hartanah.
“Sebagai contoh, tanah yang mempunyai syarat nyata First Grade umumnya tidak perlu melalui proses tukar syarat jika ingin dimajukan dan tidak tertakluk di bawah kelulusan Seksyen 124 Kanun Tanah Negara.
“Mengambil kira faktor pembangunan serta sosioekonomi setempat dalam tempoh 30 tahun ini, kadar cukai tanah bagi First Grade pada masa kini tidak dikenakan pada kadar sepatutnya, sekali gus menyebabkan ketirisan dalam kutipan hasil cukai negeri,” jelasnya.
Menurut beliau, sebanyak 373,777 hak milik tanah yang berdaftar di negeri ini akan terlibat dalam proses semakan cukai tanah.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 194,362 hak milik adalah tanah berstatus First Grade yang mewakili 51.99 peratus daripada pemilikan tanah di negeri ini.
“Semakan cukai tanah akan melibatkan semua kategori termasuk bangunan seperti kediaman dan komersial, perindustrian atau perusahaan serta tanah pertanian,” jelasnya lanjut.
Tidak melibatkan hak milik strata
Dr. Faizal berkata, semakan semula kadar cukai tidak akan melibatkan hak milik strata yang kini mencecah 300,000 pemilik di negeri ini.
“Pemilik strata yang terkesan hanya yang terlibat dalam proses pengkelasan dari kawasan desa kepada bandar seperti Seberang Jaya, Bayan Lepas, Padang Tembak dan lain-lain.
“Hal ini kerana menurut Akta Hakmilik Strata 1985, semakan kadar tidak boleh dilaksanakan kurang dari tempoh 10 tahun daripada semakan terakhir iaitu pada tahun 2019.
“Ini bermakna hampir 300,000 pemilik strata di negeri ini tidak akan terkesan terhadap proses semakan cukai tanah pada Januari 2026,” ujarnya.
Dr. Faizal berkata, semua pemilik tanah boleh menyemak kadar baharu cukai tanah masing-masing mulai 1 Januari 2026 sama ada secara dalam talian melalui portal PGLand atau secara fizikal di kaunter Pejabat Tanah yang berhampiran.
“Pemilik-pemilik tanah dan petak juga akan menerima bil cukai masing-masing seperti biasa mulai Januari 2026.
“Justeru, semua pemilik tanah dan petak strata dapat menyemak dan mengemas kini alamat surat menyurat dan nombor telefon untuk dihubungi pada bil cukai masing-masing,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD