Pulau Pinang senantiasa galak sektor swasta pasang panel solar, jayakan pelan alih tenaga negeri

Admin
a576d47c e0ed 493b 82f1 a2f6a192c130

BERTAM – Pulau Pinang akan terus memainkan peranannya dalam menggalakkan pemasangan panel solar di bangunan milik bukan kerajaan di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian kepada Timbalan Menteri Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir pada Majlis Penyerahan dan Pelancaran Sistem Solar Fotovoltaik Kepada Pasar Raya Mega Mydin Bertam di sini pada 13 Jun 2024.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita akan cuba memainkan peranan sebaik mungkin (yang mana) kita sedar tidak mempunyai banyak hartanah tetapi akan cuba sedaya upaya untuk menyediakan kemudahan kepada sektor swasta termasuk menggalakkan mereka untuk saling bekerjasama dengan Penang Green Council bagi merealisasikan agenda hijau sebaik mungkin di Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan itu lagi, di negeri ini telah ditubuhkan Pasukan Petugas Tenaga Boleh Diperbaharui & Kecekapan Tenaga (PREET) di bawah Penang Green Agenda 2030, yang mana selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dilancarkan pada peringkat Kerajaan Persekutuan.

Berucap sebelum itu, Pengarah Eksekutif Iman Ikhlas (M) Sdn. Bhd. – Mydin Wilayah Utara, Azmin Saduruddin melahirkan penghargaan kepada Pengasas Hunza Properties Bhd., Dato’ Seri Khor Teng Tong selaku tuan tanah kerana membenarkan Ray Go Solar Holdings Bhd. memasang pelan solar di atas bumbung bangunan pasar raya mega Mydin Bertam.

Ketua Pegawai Eksekutif Ray Go Solar Holdings Bhd., Dato’ Ray Tan Boon Teck pula menyatakan bahawa pihaknya memuji usaha PETRA dan Kerajaan Negari bagi mempercepatkan pelaksanaan industri tenaga hijau di Pulau Pinang.

Hadir sama, Pengarah Urusan Iman Ikhlas (M) Sdn. Bhd. – Mydin Wilayah Utara, Dato’ Dr. Saduruddin Ghulam Husen.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS