Pulau Pinang tamatkan kempen Sukma ke-21 di kedudukan keempat dengan 41 pingat emas

img 20240824 183908 238

KUCHING – Selepas berhempas-pulas selama dua minggu, Kontinjen Pulau Pinang akhirnya menamatkan kempen Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak dengan mengutip 41 pingat emas, 45 perak dan 52 gangsa.

Jumlah kutipan pingat emas yang diraih itu telah meletakkan Pulau Pinang di kedudukan keempat keseluruhan, di belakang tuan rumah Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor.

Terdahulu, Kontinjen Pulau Pinang meraikan satu lagi momen gembira apabila berjaya menambah satu lagi pingat emas di gelanggang gimnastik artistik, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan sebelum ini.

Pingat emas ke-41 Pulau Pinang hadir menerusi persembahan bertenaga dan meyakinkan Wilson Wei Sin Yeow yang mengungguli acara palang sejajar.

img 20240824 183911 511

Selain pingat emas, gimnastik artistik turut menyumbang dua pingat perak juga menerusi Wilson Yeow (melombol) dan Anson Yu Hang Tan, di samping satu gangsa oleh Zarith Imaan Khalid.

Pagi tadi, Kontinjen Pulau Pinang meraikan kegembiraan apabila skuad catur berjaya menyumbang dua pingat emas, sekali gus melengkapkan misi 40 pingat emas Kontinjen Pulau Pinang pada temasya kali ini.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & MSNPP