Pulau Pinang tawar perkhidmatan internet pantas tanpa wayar berkelajuan tinggi sehingga 170Mbps

Admin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang sekali lagi mendahului dalam transformasi digital negara dengan menawarkan perkhidmatan internet pantas tanpa wayar berkelajuan tinggi sehingga mencapai 170 megabait sesaat (Mbps).

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, beliau yakin dengan pemilihan George Town sebagai bandar perintis dalam program berskala besar ‘Terragraph’, ia akan merancakkan usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke arah transformasi digital sebagaimana dihasratkan oleh Perdana Menteri, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad.

 

“Sejak diumumkan pada Februari lalu (oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo) dan bermula 1 Mac (2019), pihak berkaitan telah menguji capaian jalur lebar bagi kegunaan awam di lima zon di sekitar Tapak Warisan Dunia George Town.

 

“(Dan) hari ini, saya bersama-sama Datuk Bandar (Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang melihat sendiri status terkini projek perkhidmatan jalur lebar (WiFi) ini.

 

“Saya yakin, dengan pelaksanaan projek ‘Terragraph’ ini yang disokong oleh Facebook akan melengkapkan visi Pulau Pinang, Penang2030 ke arah menjadi bandar raya pintar dan bertaraf antarabangsa,” ujarnya pada sidang media sejurus mengadakan tinjauan di hadapan Dewan Bandaraya dekat Jalan Padang Kota Lama, pagi ini.

 

NOD pemancar yang dipasang di tiang lampu sedia ada.

Hadir sama, wakil daripada pembekal perkhidmatan YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Cawangan Pulau Pinang.

 

Difahamkan, sehingga hari ini (19 April), YTL telah memasang 298 nod pemancar (peranti) di 160 lokasi terpilih dengan 40 titik capaian (AP) dan 71 akses jalur lebar tetap.

 

Menurut Jagdeep, masih terdapat 140 lokasi yang dirancangkan belum dipasang dengan nod pemancar, dan ia dijangka siap bulan hadapan.

 

SALAH satu tiang lampu di hadapan Dewan Bandaraya yang dipasang alat peranti internet.

“Memandangkan alat perantinya yang kecil dan mudah alih, maka ia dipasang di tiang-tiang lampu di sekitar George Town tanpa mengganggu sturktur sedia ada.

 

“Malah di beberapa lokasi, perkhidmatan WiFi ini boleh mencapai kelajuan muat turun sehingga 170 Mbps iaitu 10 kali lebih pantas berbanding perkhidmatan WiFi awam lain di dunia.

 

 

“(Dan) ujian kelajuan ini dilakukan oleh pihak SKMM yang mana saya telah meminta supaya mereka (SKMM) melakukan kajian lebih terperinci,” katanya yang yakin bahawa Pulau Pinang mampu menerajui era baharu teknologi generasi kelima (5G) negara dengan pelaksanaan projek ‘Terragraph’ berkaitan.

 

‘Terragraph’ adalah internet tanpa wayar berkelajuan tinggi yang diperkenalkan pada 2016 dengan memfokuskan penambahbaikan kualiti dan kelajuan penggunaan internet di kawasan bandar yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN