Pulau Pinang terima jemputan rasmi ke kejohanan SUKMA Johor

Admin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang secara rasminya menerima watikah jemputan untuk menyertai temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 yang bakal berlangsung di Johor pada Julai ini.

Watikah diserahkan oleh Exco Belia, Sukan, Kebudayaan Negeri Johor, Mohd. Khuzzan Abu Bakar kepada Exco Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee, semalam.

Lip Chee berkata, majlis penyampaian watikah lazimnya diadakan setiap kali tibanya temasya SUKMA yang bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara delegasi kedua-dua negeri.

Maskot-maskot yang akan mewarnai Temasya SUKMA 2020 Johor.

“Untuk makluman bersama, kontinjen negeri Pulau Pinang akan menghantar penyertaan untuk kesemua 31 acara sukan yang dipertandingkan pada temasya kali ini.

“Justeru, saya mendorong agar jurulatih serta wakil persatuan sukan negeri bersama-sama memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam menjayakan acara sukan yang diamanahkan.

“Pengorbanan para atlet bagi kecemerlangan serta kemajuan sukan di SUKMA Johor akan disokong sepenuhnya,” katanya pada majlis berkaitan yang berlangsung dekat Komtar baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pulau Pinang, Dr. Amar Pritpal Abdullah; ADUN Batu Uban merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Belia dan Sukan, A. Kumaresan serta barisan delegasi Kerajaan Negeri Johor.

Mengulas lanjut, Lip Chee menjelaskan bahawa setakat ini Pulau Pinang telah mendaftarkan 723 atlet meliputi 31 jenis sukan.

“Jumlah ini belum muktamad kerana senarai akhir akan diumumkan pada April ini memandangkan terdapat segelintir persatuan masih menilai prestasi atlet tetapi kita jangkakan lebih 900 delegasi termasuk pegawai-pegawai persatuan dan lain-lain akan berada di sana.

“Bagi sasaran pingat pula, kita masih perlukan perbincangan lanjut bagi menentukan acara-acara sukan yang boleh menghadiahkan emas, perak dan gangsa, tapi paling penting adalah semangat sukan yang ditunjukkan oleh para atlet,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Mohd. Khuzzan memberitahu bahawa Pulau Pinang menjadi negeri ketiga selepas Kedah dan Perak yang menerima jemputan rasmi bagi negeri-negeri wilayah utara.

“Kita jangka jemputan rasmi akan selesai sebelum bulan Ramadan ini,” jelas beliau.

Difahamkan, Johor bakal menggunakan logo rasmi dengan grafik perkataan jawi ‘Jim’ yang mewakil negeri berkenaan sebagai identiti kebangsaan manakala ‘gambir’ dan ‘lada hitam’ diangkat sebagai obor temasya.

Maskot rasmi SUKMA 2020 pula adalah seekor Harimau Malaya bernama Jimi yang mewakili keberanian dan kegarangan selain turut menampilkan ciri kesultanan zaman-berzaman yang menjadi identiti negeri Johor.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI