BAYAN LEPAS – Pulau Pinang berjaya mendapat kelulusan 75 projek baharu di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) membabitkan peruntukan berjumlah RM54.14 juta.
Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan perkara itu semasa berucap pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK-12 dekat sini sebentar tadi.
“Kelulusan 75 projek ini adalah sebahagian daripada 126 projek yang dimohon oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah peruntukan Rolling Plan Ketiga RMK-12 sebelum ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan terutamanya Kementerian Ekonomi kerana telah meluluskan projek-projek ini.
“Namun, pada masa sama kami memohon agar pihak Kementerian Ekonomi dapat memberikan pertambangan sewajarnya terhadap projek-projek pembangunan keutamaan yang diketengahkan,” katanya pada program yang turut dihadiri Menteri Ekonomi, Mohd. Rafizi Ramli.
Turut hadir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron; barisan ahli Exco ‘Caretaker’ Kerajaan Negeri; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ A. R. Rajendran; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad serta ramai lagi.
Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memberikan perhatian kepada tujuh bidang utama untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Tujuh bidang keutamaan ini termasuklah peluang pekerjaan, pembangunan jaringan ekosistem, ketersambungan jaringan pengangkutan, penambahbaikan aliran trafik, strategi mengatasi isu perubahan iklim, pembekalan air dan pembangunan komuniti.
“Oleh itu, sesi libat urus seperti hari ini adalah amat tepat dalam memastikan setiap gerak kerja berada di landasan yang tepat untuk mencapai objektif yang ditetapkan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.
Sementara itu, Mohd. Rafizi dalam ucapannya menyatakan bahawa Kementerian Ekonomi akan mempertimbangkan untuk meluluskan lebih banyak projek untuk negeri Pulau Pinang.
“Pulau Pinang adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi negara dan terus menjadi enjin penggerak kepada pembangunan negara yang kita cintai ini.
“Justeru, Kementerian Ekonomi kini dalam proses mengkaji dan menganalisis setiap projek infrastruktur dan pembangunan yang dicadangkan oleh setiap Kerajaan Negeri.
“Proses ini bermula sejak beberapa bulan lalu dan kita kini sudah berada pada peringkat akhir penilaian.
“Apabila projek yang dicadang diluluskan, peruntukan kemudiannya akan diagihkan untuk projek-projek yang akan dilaksanakan di negeri-negeri terbabit,” ujarnya.
Dalam sidang media selepas itu, Mohd. Rafizi menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak sekian lama telah merancang untuk memudah dan meningkatkan kapasiti pengangkutan awam di negeri ini terutamanya di bahagian pulau.
“Ini kerana, sebahagian besar daripada perancangan pembangunan di bahagian pulau dalam 10 tahun lepas adalah berkait dengan pengangkutan awam.
“Justeru, di peringkat Kementerian Ekonomi, kami menyokong sepenuhnya projek-projek pembangunan infrastruktur pengangkutan di Pulau Pinang yang kini sedang dirunding secara bersama oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : ALISSALA THIAN