Pulau Pinang terima RM25 juta pelihara Tapak Warisan Dunia UNESCO

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerima peruntukan RM25 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan memelihara dan pengurusan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa peruntukan tersebut akan dimanfaatkan untuk melaksanakan pelbagai projek termasuk membaik pulih bangunan warisan serta projek konservasi berasaskan komuniti.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berusaha bersungguh-sungguh dalam mengukuhkan Nilai Keunggulan Sejagat Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak ia diiktiraf pada 7 Julai 2008.

Ketua Menteri bersama-sama Mentero MOTAC dan Ketua Menteri Melaka pada Majlis Penyerahan Cek Peruntukan Program Pemeliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Walaupun pengurusan dan pemeliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town yang mempunyai 5,013 bangunan ini adalah penuh cabaran tetapi Kerajaan Negeri tetap komited untuk memastikan aset warisan berharga ini kekal terpelihara.

“Sepanjang 15 tahun ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sekurang-kurangnya RM150 juta dalam menampung kos pemuliharaan, pemeliharaan, konservasi, penaiktarafan, pembaikian, pendokumentasian, promosi, aktiviti perkasaan komuniti dan pengurusan tapak.

“Justeru, dengan adanya peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan, lebih banyak lagi perkara yang boleh kita usahakan untuk menjaga Tapak Warisan Dunia,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Cek Peruntukan Program Pemeliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO yang disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Sri Tiong King Sing dekat sini sebentar tadi.

Turut hadir, Exco Pelancong dan Ekonomi Kreatif ‘Caretaker’, Yeoh Soon Hin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Datuk Mohd. Zamri Mat Zain.

Pada masa sama, Kon Yeow mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Warisan Negara membuka peluang baru dan melantik lebih banyak konservator warisan daripada kalangan golongan muda.

“Mengikut senarai konservator warisan pada tahun 2023, hanya sembilan sahaja yang berdaftar di Pulau Pinang dan kuantiti ini adalah tidak mencukupi.

“Ini kerana Pulau Pinang memerlukan lebih banyak pakar dalam bidang ini,” katanya sambil mencadangkan supaya peruntukan RM25 juta tersebut diberikan pada setiap tahun.

Terdahulu, Kerajaan Persetukuan dalam Belanjawan 2023 bersetuju menyalurkan peruntukan RM50 juta kepada negeri Melaka dan Pulau Pinang untuk terus kekal memelihara Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Sementara itu, King Sing berkata bahawa MOTAC kini dalam usaha mengenal pasti kampung-kampung tradisional yang ada terutamanya di negeri Pulau Pinang dan Melaka untuk diangkat sebagai destinasi pelancongan.

“Kita mahu menarik lebih banyak pelancong daripada luar untuk melawat Malaysia melalui projek penaiktarafan kampung tradisional ini,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT