SEBERANG JAYA – Mengimbas kembali pencapaian Kerajaan Negeri untuk masyarakat India sejak 15 tahun lepas secara amnya, dan secara spesifik sepanjang lima (5) tahun lalu, Pulau Pinang adalah negeri pertama dalam negara yang mula menyediakan peruntukan untuk sekolah-sekolah Tamil dalam Bajet Tahunan Kerajaan Negeri secara tahunan bermula pada 2009.
Menurut Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow, kesemua 28 sekolah Tamil di Pulau Pinang memperoleh peruntukan berkaitan yang disalurkan terus ke akaun Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk pelbagai kegunaan, bermula daripada penyelenggaran infrastruktur kepada pemerkasaan serta pembangunan akademik.
“Lebih RM25 juta telah disalurkan kepada sekolah-sekolah Tamil di Pulau Pinang sehingga kini.
“Malah, hasil daripada penyediaan peruntukan ini juga, saya dimaklumkan bahawa kesemua 28 sekolah Tamil di negeri Pulau Pinang telah mencatatkan jumlah kemasukan pelajar yang memuaskan, tanpa masalah Sekolah Kurang Murid (SKM).
“Pada masa sama, saya juga diberitahu bahawa kesemua sekolah Tamil di Pulau Pinang mempunyai Kelas Pintar Abad Ke-21 (21st Century Smart Class Rooms), iaitu sekurang-kurangnya sebuah di setiap sekolah,” kongsinya pada Program Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama-sama Masyarakat India di sini petang tadi.
Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim; Timbalan Ketua Menteri II ‘Caretaker’, Prof. Dr. P. Ramasamy; barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dan kepimpinan masyarakat setempat antara yang hadir pada majlis tersebut.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa walaupun pendidikan bukanlah bidang kuasa Kerajaan Negeri, namun, Kerajaan Negeri tetap meneruskan penyaluran peruntukan tersebut tanpa mengira latar belakang agama dan juga bangsa.
“Kami di Pulau Pinang tidak pernah menolak tanggungjawab terhadap pembangunan pendidikan serta modal insan anak-anak kita yang bakal memacu negeri ini ke persada dunia.
“Di sini, saya tegaskan bahawa Kerajaan Negeri juga senantiasa komited untuk menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi oleh sekolah-sekolah Tamil di Pulau Pinang.
“Bermula dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Azad di Jalan Kebun Bunga, sehingga Sekolah Tamil Rajajee di Ayer Itam, yang baru-baru ini memperoleh tanah bernilai RM29 juta, Kerajaan Negeri tidak pernah menolak tanggungjawab yang diamanatkan sejak tahun 2008.
“SJKT Azad, SJKT Batu Kawan, SJKT Ladang Valdor, SJKT Subramaniya Bharathee, SJKT Rajaji adalah antara sekolah Tamil yang telah mendapat tanah daripada pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang, malah Kerajaan Negeri juga telah menyediakan tanah untuk Sekolah Tamil ke-29 Pulau Pinang di Taman Bagan, Bagan Dalam,” tegasnya yang turut berharap pemindahan murid sekolah Tamil dari Kedah dipermudahkan untuk menjadikannya sebagai Sekolah Tamil ke-29 di negeri ini.
Bercakap mengenai Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Pulau Pinang, Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta kepada pertubuhan terbabit setiap tahun.
“Sejak tahun 2008, tiada sebuah pun tokong atau kuil yang telah dirobohkan oleh mana-mana pihak di negeri ini.
“Malah, Pulau Pinang juga merupakan satu-satunya negeri yang menubuhkan HEB dalam negeri ini.
“Pencapaian HEB Pulau Pinang telah menjadi titik tolak bagi mengatasi masalah-masalah berkaitan masyarakat Hindu ataupun institusi kuil dan keagamaan Hindu di negeri ini,” katanya merangkap Ahli Parimen Batu Kawan.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : SIEW CHIA EN