Pulau Pinang tingkat lagi kadar bantuan kewangan bulanan kepada 1,668 penerima BAES

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sejak 1 Januari 2021 lagi meningkatkan kadar bantuan kepada 1,668 penerima menerusi skim Bantuan Agenda Ekonomi Saksama (BAES).

PHEE Boon Poh

Mengulas lanjut, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh memberitahu bahawa koridor baharu bantuan kepada para penerima skim bantuan kewangan bulanan tersebut adalah antara RM100 hingga RM1,300, berbanding sebelum ini antara RM220 hingga RM770.

Tujuan pelaksanaan skim tersebut, menurutnya lagi, adalah untuk menambah pendapatan bulanan sesebuah isi rumah agar melepasi nilai Pendapatan Per Kapita (PPK) iaitu RM260, seterusnya mengeluarkan mereka daripada kelompok ‘Isi Rumah Miskin’.

“Bantuan Am yang dijenamakan sebagai BAES ini disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)…bagi meringankan beban golongan sasar dengan menambahkan pendapatan isi rumah miskin di Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu semasa berucap dalam Sesi Libat Urus Exco dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang yang dilangsungkan di The Wembley – St. Giles Hotel dekat sini pada 29 Mac 2021.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memberitahu bahawa seramai 82 orang penerima telahpun dikenal pasti layak oleh Pejabat-pejabat Tanah dan Daerah Negeri untuk dipertimbang bagi mendapat manfaat dalam Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar pada tahun 2021.

Sesi Libat Urus Exco dan ADUN anjuran Kerajaan Negeri bermula pada pagi tadi dan dijadual berlangsung sehingga petang esok.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : LAW SUUN TING