Pulau Pinang tuai tiga emas, tiga perak di gelanggang silambam

Admin
img 20240822 185046 028

KUCHING – Kontinjen Pulau Pinang beraksi cemerlang di gelanggang silambam apabila berjaya menggondol enam pingat masing-masing tiga emas dan tiga perak hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Hikmah Exchange Event Centre dekat sini pagi tadi, skuad silambam menyumbang emas pertama menerusi B. Kavithira dalam kategori Porutal individu bawah 50 kilogram (kg).

img 20240822 185117 619

K. Hirthick kemudian menghadirkan kegembiraan selagi lagi kepada Kontinjen Pulau Pinang apabila berjaya menambah emas kedua dalam acara Poruthal individu lebih 75kg.

Melengkapkan aksi cemerlang skuad silambam, V. K. Ranishaa yang tampil penuh yakin sekali gus berjaya menambah satu lagi kilauan emas dalam kategori Poruthal individu lebih 70kg.

Dua pingat perak di gelanggang silambam hadir menerusi K. Githan serta B. Shangeetha masing-masing menerusi acara Poruthal individu 65-75kg dan 60-70kg.

Pasukan berirama tanpa senjata yang dibarisi Prem Kumar Arvinthan, K. Hirthick, S.M. Turgeshwaar, S. Vickyneswaran dan M.R. Rinnisha meraih satu lagi pingat perak dalam acara terakhir silambam yang dipertandingkan hari ini.

img 20240822 183829 313

img 20240822 183832 396img 20240822 183837 285img 20240822 183802 729img 20240822 183810 675img 20240822 184156 969img 20240822 184248 572

Jurulatihnya, P. Raveendran ketika ditemui Buletin Mutiara menzahirkan rasa gembira kerana skuad silambam mampu melepasi sasaran satu pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-21.

“Dengan kerjasama yang diberikan oleh Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), kami mampu menyumbang sehingga tiga pingat emas berbanding sasaran hanya satu sahaja.

“Sebenarnya kita sasarkan empat pingat emas tetapi atlet yang menjadi sandaran pingat emas mengalami kecederaan dan hanya memperoleh pingat perak selepas menewaskan lawan dari Kedah,” katanya.

Ditanya mengenai harapan, Raveendran berkata dia berharap agar semua 13 atlet yang bernaung di bawah Persatuan Silambam Pulau Pinang dapat kekal mewakili Pulau Pinang pada Sukma seterusnya.

“Kita risau kerana kebanyakan atlet sekarang berada di Tingkatan 5 dan mereka mungkin akan menyambung pengajian ke tempat lain atau mungkin akan mewakili negeri lain.

“Oleh itu, kami harap agar pihak MSNPP dapat melakukan sesuatu untuk mengekalkan mereka dalam kontinjen Pulau Pinang sehingga ke Sukma 2026.

“Walaupun kami ada ramai atlet pelabis tetapi untuk melatih mereka sehingga layak ke Sukma memerlukan masa paling kurang dua tahun,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Silambam Pulau Pinang, S. Vejiyethran berkata semangat yang ditunjukkan oleh atlet silambam sangat luar biasa sehingga mampu melakar kejutan pada hari ini.

“Akhirnya, kita dapat beraksi di final dalam lima acara walaupun terdapat seorang daripada atlet kita (Shangeetha) masih mengalami kecederaan.

“Walaupun dinasihatkan oleh doktor untuk menarik diri dalam perlawanan akhir ini tetapi dia tetap mahu mencuba sedaya upaya dalam perlawanan ini dan akhirnya berjaya meraih pingat perak,” katanya.

Semalam, atlet silambam juga telah menyumbang tiga pingat gangsa masing-masing menerusi S. Vickyneswaran dalam acara Poruthal bawah 55kg, V. Ranishaa (Poruthal lebih 70kg) dan B. Kavithira (Poruthal bawah 50kg).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR