GEORGE TOWN – Persatuan Jururawat Malaysia (MNA) dengan kerjasama MNA Pulau Pinang serta Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) bakal menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 27 hingga 29 Mac ini.
Selain itu, Persidangan Saintifik MNA berkaitan kaedah baru dalam industri perubatan juga akan dijalankan serentak pada mesyuarat berkenaan yang berlangsung dekat Bayview Beach Resort, Batu Feringghi.
Exco Pelancongan, Seni & Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin berkata bahawa Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan sebarang perbincangan ilmiah berkaitan perubatan yang dilihat mampu meningkatkan motivasi para jururawat di negeri ini.
“Pada tahun 2019, sebanyak 318 program berkaitan sains perubatan dianjurkan di negeri ini yang mana sekaligus menunjukkan bahawa kita (Pulau Pinang) terus dikenali sebagai hab pelancongan perubatan.
“Justeru, kita percaya bahawa dengan pengajuran program seperti ini akan memberi indikasi kepada kerancakan perbincangan secara lebih profesional dalam bidang penjagaan perubatan di Pulau Pinang”, katanya pada sidang media dekat Komtar, sebentar tadi.
Hadir sama, Pengerusi MNA Penang, S. Vimala Devi; G. Ashwin Gunasekeran (Ketua Eksekutif PCEB), Tricia Loh (Pengerusi Pemasaran PCEB) serta Matron Pat Lim Chooi Ewe (Penasihat MNA).
Sementara itu, Vimala Dewi memberitau bahawa pihaknya menyasarkan kehadiran kira-kira 1,500 jururawat pada mesyuarat tersebut.
“AGM kali ini lebih signifikan kerana diadakan bersempena Tahun Jururawat sepertimana ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Oleh itu, diberharap agar kedua-dua program ini akan memberikan impak yang positif kepada semua jururawat dan sektor perubatan di negara ini,” ujarnya lagi.
Oleh: SITI FATIMAH HUZAIDI
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS