Pulau Pinang ‘tuan rumah’ mesyuarat tahunan POGO 2025

Admin
whatsapp image 2025 02 14 at 11.09.58

GEORGE TOWN – Mesyuarat tahunan kali ke-26 institusi oseanografi, Partnership for Observation of the Global Ocean (POGO) yang akan berlangsung di Pulau Pinang dari 25 hingga 28 Februari 2025 ini mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan Asia dalam penyelidikan dan pemuliharaan lautan global.

Menurut Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai, mesyuarat tahunan tersebut juga menandakan peristiwa penting bagi Malaysia termasuk rantau Asia Tenggara.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya amat mengalu-alukan semua ahli POGO, saintis, penggubal dasar dan rakan kongsi untuk menyertai acara tersebut.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada POGO; Pusat Kajian Marin dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM) dan semua organisasi sokongan yang menjayakan acara ini,” ujarnya pada sidang media di Komtar pada 14 Februari 2025.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB), G. Ashwin dan Pengarah CEMACS, Prof. Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai.

Mengulas lanjut, Hon Wai berkata, mesyuarat kali ini akan menjadi platform penting untuk memajukan perbincangan mengenai pemerhatian laut, pemuliharaan dan daya tahan iklim.

“Lautan meliputi lebih 70 peratus planet kita dan memainkan peranan asas dalam mengawal selia iklim, menyokong kepelbagaian biologi serta mengekalkan mata pencarian.

“Namun, ia semakin terancam oleh pencemaran, kehilangan biodiversiti, penangkapan ikan yang berlebihan dan perubahan yang disebabkan oleh iklim seperti kenaikan paras laut serta gelombang haba marin.

“Maka, dengan penganjuran mesyuarat POGO, Malaysia dan Pulau Pinang khasnya dapat mengukuhkan komitmen untuk memajukan penyelidikan serta pemuliharaan lautan sekali gus menambah baik strategi untuk pengurusan sumber marin yang mampan,” jelasnya.

Tambah Hon Wai lagi, sains dan pemuliharaan amat penting dalam memastikan kelestarian industri pelancongan.

“Semasa saya menjadi Ahli Parlimen Bukit Bendera, saya telah membangkitkan isu berkaitan dasar lautan negara dan juga telah membahaskan Kertas Putih Pertahanan yang mengiktiraf kepentingan tentera laut kerana Malaysia pada asasnya adalah sebuah negara maritim.

“Oleh itu, saya mengalu-alukan kehadiran para saintis dan pakar laut dari 30 negara ke Pulau Pinang dan berharap jalinan kerjasama yang terjalin dapat memastikan lautan kita kekal berdaya tahan untuk generasi akan datang,” katanya.

Tahun lalu, mesyuarat tahunan diadakan di Ensenada, Mexico dan tahun ini, Malaysia dipilih menjadi penganjur bagi mesyuarat tahunan ke-26 institusi oseanografi berkenaan yang bakal berlangsung di Gurney Bay Hotel.

POGO adalah sebuah forum yang diwujudkan pada tahun 1999 yang mana tumpuan khusus merangkumi pelaksanaan sistem pemerhatian lautan antarabangsa secara bersepadu membabitkan kepakaran dan pengalaman daripada institusi sains serta teknologi lautan terkemuka di dunia.

Dalam sidang media sama, Hon Wai turut mengumumkan bahawa Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang akan menganjurkan pameran tentang akuamarin dari 10 September hingga 10 November 2025.

“Pameran ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang alam sekitar melibatkan kawasan marin melalui kuasa seni dan memberi inspirasi ke arah kelestarian lautan pada masa hadapan,” katanya yang juga Pengerusi Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Pulau Pinang.

Oleh : NUR BATRISYIA IDRUS
Gambar : LAW SUUN TING