Pulau Pinang tunggu Putrajaya muktamad mekanisme dalam menetapkan tarif air baharu, respons Kon Yeow

Admin

PERAI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya telah menyatakan persetujuan terhadap hasrat Putrajaya untuk menaikkan tarif air supaya seragam di semua negeri.

Cuma, beliau menyatakan bahawa pentadbirannya sedang menunggu Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli untuk memutuskan mekanisme penetapan tarif air baharu, supaya Kerajaan Negeri boleh menetapkan kadar caj bagi semua kategori tarif yang diseragamkan tersebut kelak.

“Tujuan (kenaikkan tarif air) adalah seragamkan di seluruh negara, jadi, kalau boleh dipersetujui (oleh semua Kerajaan Negeri), isu kedua adalah bagaimana (kadar caj) tarif itu ditetapkan.

“Apa yang berlaku sekarang adalah semua negeri adalah mekanisme yang berlainan, mungkin ada enam atau tujuh kategori, cuma tujuan penyeragaman ini adalah untuk mewujudkan tiga tarif yang digunakan (iaitu) semua negeri menggunakan mekanisme yang sama, tetapi tertakluk kepada negeri masing-masing untuk menetapkan berapa sen bagi satu-satu kategori ini, itu patut ditentukan oleh negeri masing-masing.

“Sebenarnya sekarang, sistem mekanisme belum ditetapkan lagi, langkah pertama adalah Kerajaan Pusat perlu mendapatkan sokongan daripada Kerajaan Negeri untuk menyeragamkan mekanisme dalam menetapkan tarif, selepas itu barulah tiap-tiap Kerajaan Negeri menetapkan berapa kadar caj yang wajar ditetapkan.

“Pihak Kerajaan Negeri telah memberi persetujuan tentang cadangan mekanisme itu, sebab belum diputuskan, maka, kita (Kerajaan Negeri) belum masuk ke peringkat kedua (iaitu) untuk menetapkan kadar-kadarnya (caj bagi tiap-tiap kategori tarif yang baharu),” respons Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Residensi GEM di sini pada 6 Januari 2019.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh; ADUN Bagan Dalam, M. Satees; ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye dan Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud turut sertai acara tersebut.

Hadir sama, Konsulat Besar Republik Rakyat China Ke Pulau Pinang, Lu Shiwei; Pengarah Urusan Kumpulan Belleview, Datuk Sonny Ho dan Pengarah Urusan Kumpulan LTC, Lionel Cheng.

Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tarif air di negeri itu masih kekal pada kadar sama dan tiada sebarang kenaikan bagi tempoh lima tahun ini.

Malah menurutnya, perkara tersebut sebagaimana terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan.

Bagaimanapun Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar memberitahu bahawa ada beberapa negeri sudah bersetuju dengan cadangan kenaikan tarif air tersebut dan ia akan dibawa ke Kabinet untuk kelulusan serta diumumkan dalam masa terdekat.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD