Pulau Pinang umum penubuhan Task Force ‘Program Komputer E-Pembelajaran’, laksana pembelajaran dalam talian

Admin

GEORGE TOWN – Meskipun bidang pendidikan terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, namun sebagai sebuah negeri yang sentiasa mengutamakan percambahan modal insan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengorak langkah menubuhkan sebuah pasukan khas, sebagai usaha membangunkan bidang pendidikan dalam suasana normal baharu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, dalam normal baharu, sebahagian aktiviti pendidikan perlu dikendalikan secara dalam talian bagi memastikan kelangsungan ilmu pengetahuan.

“Namun, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa cabaran yang terpaksa dihadapi antaranya (kekangan) kemudahan internet; kekurangan peranti serta perkakasan yang sesuai dan literasi komputer dalam kalangan pelajar, ibu bapa serta guru.

“(Oleh demikian), bagi memastikan pendidikan anak-anak Pulau Pinang tidak terjejas (kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan) maka Kerajaan Negeri telah menubuhkan sebuah Task Force ‘Program Komputer E-Pembelajaran’,” ujar beliau pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook @ChowKonYeow.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut mengumumkan pelbagai inisiatif yang bakal dilaksanakan di bawah pasukan khas itu.

“Antaranya Skim Pinjaman Peranti Komputer; Skim Pemberian Komputer Terpakai, tawaran sokongan teknikal dan penyelenggaraan; program latihan literasi komputer; pemerkasaan komuniti melalui e-dialog dan e-forum serta pembelian peranti komputer pada harga diskaun melalui skim pembayaran ansuran tanpa faedah.

“Kesemua inisiatif ini adalah untuk memastikan anak-anak Pulau Pinang boleh membuat peralihan kepada sistem e-pembelajaran dengan lancar,” katanya.

Pasukan khas yang terdiri daripada agensi kerajaan, syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang-perseorangan ini dikendalikan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng di bawah Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh Negeri Pulau Pinang.

Setakat hari ini, Intel Malaysia telah menyumbang sebanyak RM250,000 bagi pembelian 120 komputer riba. Selain Intel Malaysia, syarikat seperti SNS Network juga menyumbang 15 komputer riba; Pith Computer Sdn. Bhd. (10), syarikat pembekal Acer (10) dan syarikat pembekal Lenovo (10) bagi tujuan menjayakan inisiatif ini.

Manakala, syarikat Swisspac Resources Sdn. Bhd. akan menerima komputer terpakai dan dibaiki sebelum disumbangkan secara percuma kepada pelajar yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan di bawah Skim Pemberian Komputer Terpakai.

Di samping itu, Kon Yeow memaklumkan bahawa perkhidmatan penyelenggaraan dan latihan dalam talian secara percuma turut ditawarkan kepada mereka yang menghadapi masalah teknikal.

“Semua butiran lanjut mengenai inisiatif ini boleh rujuk laman Facebook Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh Negeri Pulau Pinang.

“Begitu juga bagi mereka yang berpendapatan sederhana yang ingin membeli peranti komputer, syarikat-syarikat pembekal seperti Pith (Computer Sdn. Bhd.), SNS Network; Swisspac (Resources Sdn. Bhd.) dan Eduspec (holdings Berhad) masing-masing menawarkan peranti pada harga diskaun bermula RM199.

“Bayaran secara ansuran pada kadar faedah kosong peratus juga ditawarkan kepada mereka yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” jelasnya.

Serentak itu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong, turut menyeru mana-mana syarikat korporat atau orang-perseorangan yang ingin turut serta menyokong inisiatif Kerajaan Negeri ini untuk sama-sama menderma komputer lama masing-masing kepada Penang Science Cluster untuk dipinjamkan atau kepada Swisspac Resources Sdn. Bhd. bagi tujuan pembaikan dan agihan kepada pelajar yang layak.

Dalam sidang media sama, Kon Yeow juga mengumumkan penganjuran e-forum, ‘Post Covid-19 Lockdown: School Reopening – Are You Ready?’ pada 29 Mei 2020, jam 4 petang yang bakal disiarkan secara langsung menerusi Facebook Buletin Mutiara.

Selain itu, turut dimaklumkan adalah perubahan format pengajaran dan pembelajaran Pusat Tuisyen Rakyat anjuran PEKA Pulau Pinang kepada e-Tuisyen Rakyat bermula 27 April lalu.

“Setakat ini, terdapat 180 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah menyertai inisiatif ini yang dikendalikan oleh 10 guru dan sukarelawan.

“Kaedah pembelajaran adalah menggunakan Zoom, Google Meet dan aplikasi WhatsApp agar pelajar-pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran masing-masing walaupun dalam tempoh PKP dan PKP Bersyarat,” maklumnya.

Dalam perkembangan berasingan, Kon Yeow menyeru agar semua rakyat Pulau Pinang terus berwaspada dan mengamalkan Amalan 4P bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti sekeliling daripada perebakan wabak COVID-19.

Bersama-sama kita menjadi perisai untuk melindungi diri sendiri, keluarga dan komuniti daripada wabak COVID-19.

“Amalkan 4P iaitu penjarakan sosial; pakai pelitup muka; pencucian tangan dengan sabun dan perhatikan gejala COVID-19 sama ada pada diri kita mahupun orang sekeliling,” tegasnya.

Beliau berkata demikian, setelah negara dikejutkan dengan kes baru di dua negeri berstatus hijau.

Hanya Pulau Pinang dan Perlis sahaja kini yang masih kekal status hijau di Malaysia, justeru, kita semua perlu memainkan peranan penting untuk mengekalkannya.

“Saya berharap anda semua akan terus mempraktikkan penggunaan aplikasi PGCare demi keselamatan kita dan komuniti kita,” katanya.

Sebagai rekod, sehingga hari ini sejumlah 8,400 premis perniagaan telah berdaftar menggunakan aplikasi ini dengan capaian 170,000 pengguna dan hampir 302,000 check-in.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD