Pulau Pinang unik, harus dilawati!

Admin

Oleh: ZULIANA AZIZ

DANNY Law Heng Kiang menunjukkan dokumentari mengenai Pulau Pinang yang ditulis oleh New York Times, baru-baru ini.
DANNY Law Heng Kiang menunjukkan dokumentari mengenai Pulau Pinang yang ditulis oleh New York Times, baru-baru ini.

GEORGE TOWN – “Pulau Pinang adalah tempat di mana anda boleh mengetahui budaya hidup yang bermula di antara 100 hingga 120 tahun lalu. Justeru, Pulau Pinang bukan sahaja unik dengan destinasi pelancongan pilihan, malah, turut terkenal dengan keunikan budayanya,” ujar Danny Law Heng Kiang, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan semasa ditemui pada sidang medianya di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau, sejak dinobatkan sebagai Bandar Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2008, Pulau Pinang juga turut mendapat perhatian daripada dalam dan luar negara sebagai negeri yang penuh dengan keunikannya tersendiri.

“Awal tahun lalu, Pulau Pinang telah dinobatkan sebagai salah satu daripada 10 pulau yang wajib dilawati semasa hayat anda oleh Yahoo Travels. Seterusnya, CNN.com juga telah menamakan Laksa Pulau Pinang sebagai item nombor tujuh yang paling lazat di dunia di mana ia merupakan satu-satunya penyertaan dari Malaysia,” tambah Danny lagi.

Selain itu, Allianz Penang Bridge International Marathon yang diadakan saban tahun juga turut tersenarai di dalam Malaysian Book of Records sebagai larian jambatan yang terbesar di Malaysia.

Seramai 27,500 peserta dari dalam dan luar negara telah menyertai acara tahunan tersebut dan tahun lalu (2011) mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi dalam sejarah.

“Baru-baru ini, seni tempatan kita, ‘Chingay’ turut dinamakan sebagai warisan kebangsaan kerana kaya dengan sejarah yang panjang di negara ini. Selain Singapura, Pulau Pinang adalah satu-satunya tempat di dunia di mana ‘Chingay’ masih dipersembahkan secara meluas,” ujar beliau mengulas kritikan dilemparkan pihak yang sebelum ini mendakwa Pulau Pinang tidak tersenarai di dalam 45 bandar yang harus dilawati pada tahun ini.

Dalam pada itu, sebuah akhbar popular dan terkenal dengan portal berita, New York Times, telah tampil menyatakan bahawa mereka dapat melihat keunikan Pulau Pinang secara menyeluruh (melalui kajian secara terperinci) dalam tempoh dua hari mereka menetap di sini.

“Di antara tempat-tempat menarik untuk dilawati jika berkunjung ke negeri ini termasuklah Bukit Bendera, Padang Kota Lama (Esplanade), Kota Fort Cornwallis, Muzium Negeri, Armenian Street, Taman Negara dan banyak lagi,” tambah Danny lagi.