Pulau Pinang usaha cari sumber air mentah alternatif sejak 2009 lagi, kata Ketua Menteri

Admin
img 0312 MAJLIS Peluncuran Iltizam Joohari Ariffin di sini dikenali sebagai PADU.

SUNGAI BAKAP – Isu tekanan air rendah sekitar kawasan kejiranan hujung paip agihan (EoL) dekat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) termasuk Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Bakap akan ditangani apabila siapnya projek Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di daerah Kerian dekat Utara Perak.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa berucap pada Majlis Peluncuran Iltizam Dr. Joohari Ariffin iaitu Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 Sungai Bakap di Taman Tasek Indah dekat Simpang Ampat di sini pada 29 Jun 2024.

“Sejak tahun 2009, kita usaha mencari sumber air mentah alternatif.

“Utara Negeri Perak juga merupakan suatu kawasan yang sering menghadapi isu air tidak mencukupi (sama seperti Daerah SPS di negeri Pulau Pinang).

“Dengan adanya KIGIP yang memerlukan lebih banyak air, maka akhirnya persetujuan (dalam Projek Air Perak – Pulau Pinang) dicapai.

“Di samping Projek (Air Perak – Pulau Pinang) ini membekalkan air di Utara Perak dan KIGIP dekat Kerian, baki air terawat itu akan dijual di Pulau Pinang; itulah rancangan jangka panjang yang kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) akan laksanakan secepat mungkin,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Kata Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, ketika ini projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Panchor siap pada tahun lepas serta kian memulihkan beberapa ribu pemegang akaun air yang terjejas sekitar KADUN Sungai Bakap.

“Di samping menunggu projek (KIGIP dan Projek Air Perak – Pulau Pinang) ini siap, ada lapan projek jangka masa pendek yang sedang kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, PBAPP) laksanakan.

“LRA Bukit Panchor sudah siap; LRA Sungai Dua yang baru akan siap pada bulan September; projek-projek (perbekalan air alternatif) di Kerian dan Sungai Perai, di Empangan Mengkuang akan dapat disiapkan menjelang tahun 2028,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berkata, pentadbirannya senantiasa berusaha memperbaiki sistem penyampaian air terawat negeri.

“Ini, menunjukkan kita (Kerajaan Negeri dan PBAPP) memang ada perancangan tetapi setiap projek fizikal memerlukan masa satu, dua hingga lima tahun untuk disiapkan,” katanya lagi.

Berucap sebelum itu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memuji perancangan jangka masa pendek, jangka masa sederhana dan jangka masa panjang yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi memperbaiki sistem penyampaian air ke seluruh negeri ini.

Turut berucap, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Dato’ Wira Mahfuz Omar.

Kemuncak acara, Joohari sendiri melancarkan iltizammnya ‘PADU’ yang bermaksud Prasarana dan Progresif, Akhlak dan Akademik, Damai dan Untuk Semua.

“Cantik sangat kita sebut ‘Sungai Bakap PADU’…P menunjukkan keprihatinan saya aspek Prasarana dan Progresif.

“Orang bercakap isu air…insyaAllah jika saya dipilih sebagai ADUN Sungai Bakap, isu ini akan menjadi lebih mudah kerana saya akan memanfaatkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang…selaras dengan Kerajaan Pusat.

“Saya tidak memberikan janji, saya memberikan iltizam yang bagi saya lebih tinggi daripada janji,” jelasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS