Pulau Pinang wujudkan Pusat Penang2030 demi memperkasa lagi pembangunan sosial rakyat

Admin

BAGAN JERMAL – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berharap usaha terbaru Kerajaan Negeri mewujudkan ruang usahasama dikenali Pusat Penang2030 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Jermal dapat memperkasakan lagi agenda pembangunan sosial peringkat komuniti lokal di sini.

Di samping itu, beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut mengalu-alukan semua lapisan masyarakat termasuk belia, wanita, warga emas dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya memanfaatkan kemudahan baharu tersebut semaksimum mungkin.

“Kita memang perlu membangunkan ekonomi (negeri Pulau Pinang) kita, tetapi kita jangan mengabaikan pembangunan sosial (masyarakat) kita sebab masyarakat memang mempunyai banyak isu sosial yang perlu ditangani serta memerlukan dasar-dasar yang baik bagi memastikan rakyat jelata bahagia dan menikmati hasil pembangunan sosial serta ekonomi kita,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong dalam majlis berkaitan yang dilangsungkan di perkarangan depan Pusat Penang2030, Jalan Raja Uda di sini babru-baru ini.

Dengan adanya kemudahan baharu tersebut, Kon Yeow berharap empat agensi negeri iaitu Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Digital Penang dan Penang Green Council (PGC) dapat turut mengambil bahagian menganjurkan program-program pemerkasaan sosial bersama-sama komuniti lokal.

Sebelum itu, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee dalam ucapannya merakamkan penghargaan kerana memilih KADUN Bagan Jermal sebagai lokasi pertama untuk mewujudkan projek ruang usahasama tersebut.

“Ini, adalah Pusat Penang2030 yang pertama di Pulau Pinang.

“Saya percaya dengan adanya Pusat Penang2030 (KADUN Bagan Jermal) ini, maka, akan mencipta lebih banyak peluang untuk rakyat jelata menganjurkan program-program pemerkasaan ekonomi rakyat dan pemerkasaan pembangunan sosial rakyat secara lebih meluas di sini,” ujarnya yang juga ADUN Bagan Jermal.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad; Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Zulkifli Rashid; Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng; Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling, dan Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Baderul Amin Abdul Hamid turut sertai majlis perasmian tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI