BATU MAUNG – Selepas setahun kerja-kerja penambakan berjalan, kemajuan projek Pulau Silikon kini telah mencapai 70 ekar (28 hektar) daripada luas keseluruan 2,300 ekar yang dirancang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC), Dato’ Seri Farizan Darus, projek tambakan tersebut kini memberi keutamaan kepada tapak depoh bagi transit aliran ringan (LRT).
“Tanah untuk depoh LRT Laluan Mutiara di Pulau Silikon dijangka siap dan diserahkan kepada MRT Corporation menjelang akhir tahun 2025.
“Setakat ini, 70 ekar (28 hektar) daripada keseluruhan 2,300 ekar (931 hektar) pulau yang dirancang telah ditebus guna.
“Daripada tanah yang telah ditebus guna, enam ekar (2.4 hektar) telah disediakan untuk depoh, manakala kerja tebus guna untuk baki kawasan depoh akan diteruskan seperti dirancang bagi memenuhi jadual penyerahan.
“Mulai tahun 2025, kami menyasarkan kadar tebus guna sebanyak 300 hingga 400 ekar setiap tahun dan penyerahan kepada syarikat MRT Corporation menjelang akhir tahun 2025,” ujar Farizan ketika ditemui pada lawatan tapak bersama media ke Pulau Silikon di sini hari ini.
Jelasnya, pembinaan depoh tersebut amat penting dalam memastikan projek LRT dapat dimulakan segera.
Menurut beliau, dalam menyegerakan kerja-kerja tambakan, pihak PIC mengoperasikan lima kapal pengangkut pasir yang beroperasi setiap hari dari punca galian di perairan Persekutuan (berhampiran sempadan Perak).
Dianggarkan sebuah kapal pengangkut mampu menambak sehingga keluasan lima ekar.
“Di sekeliling tambakan pula, PIC memasang ‘curtain silk’ yang akan memerangkap pasir daripada mencemari kawasan di luar lokasi tambakan.
“Pengoperasian ‘curtain silk’ ini juga dipantau rapi oleh penyelam-penyelam, tidak terkecuali adalah pemeriksaan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang sentiasa memeriksa keadaan ‘curtain silk’ ini.
“Pemasangan ‘curtain silk’ juga adalah arahan daripada JAS, jadi apa sahaja syarat berkaitan impak alam sekitar kita perlu patuh.
“Tambahan pula, projek ini adalah milik Kerajaan Negeri, jadi kita perlu tunjukkan contoh yang baik dari segi pematuhan dan sebagainya,” maklum beliau yang juga mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Untuk mempercepatkan kerja-kerja tambakan dan mencapai hasil optimum, kaedah ‘vertical drain’ digunakan bagi proses pemampatan tanah serta mengeluarkan air lebihan.
Perhubungan
Jambatan sementara yang menghubungkan Pulau Silikon dengan kawasan Pulau Pinang akan siap pada Mac 2025 untuk memudahkan akses logistik bagi kerja-kerja infrastruktur di tapak.
“Jambatan sementara ini juga boleh digunakan sebagai laluan kerja-kerja pembinaan di Pulau Silikon sehingga jambatan kekal dibuka bagi kegunaan awam,” umumnya lagi.
Tambah Farizan, jambatan kekal empat lorong sehala akan disiapkan dalam dua fasa.
Masa depan Pulau Pinang
Jelas Farizan, Pulau Silikon adalah masa depan Pulau Pinang sehingga tahun 2050.
Apabila siap, Pulau Silikon akan menempatkan taman teknologi hijau, laluan basikal dan pejalan kaki sejauh lima kilometer, LRT, bus rapid transit (BRT), teksi air, sekolah dan kemudahan sukan.
“Dari segi ekonomi, Pulau Silikon dijangka memberi Impak Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM1 trilion, RM74.7 bilion (pelaburan) dan 220,000 (peluang pekerjaan) menjelang tahun 2050.
“Kawasan seluar 888 ekar 38.61 peratus dikhaskan untuk kawasan hijau 720ekar untuk industri, komersial 56.35 ekar
139.6 ekar pula adalah pembangunan bercampur,” ulas Farizan lagi.
Difahamkan Pulau Silikon juga akan menempatkan kompleks pentadbiran Kerajaan Negeri yang baharu sambil Komtar masih dikekalkan dan bakal dihubungkan melalui perkhidmatan LRT.
Pelan Pengurusan Impak Sosial
Menyentuh mengenai Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP), PIC juga telah memperuntukkan sejumlah RM10.7 juta kepada nelayan Tahap 1 dan 2 yang terjejas melalui ex-gratia mahupun sumbangan bot baharu.
Setakat ini, difahamkan 877 orang nelayan yang layak sudah mendaftar dan 722 orang telah diselesaikan pembayaran 100 peratus.
“Manakala selebihnya melibatkan mereka yang sedang memperbaharui dokumen, meninggal dunia atau tidak aktif.
“Baki penerima yang layak dengan dokumen sah akan dibayar selewat-lewatnya akhir bulan ini.
“Kesemua 77 tekong yang layak dari unit Permatang Tepi Laut juga telah menerima bot dan enjin baharu.
“Fasa seterusnya akan melibatkan tekong aktif dari Sungai Batu, Gertak Sanggul dan Teluk Kumbar,” jelasnya lanjut.
Isu Pantai Esen
Bercakap mengenai masalah pencemaran yang berlaku di Pantai Esen baru-baru ini, Farizan memberitahu bahawa ia masih menunggu ujian makmal secara terperinci.
“Selepas insiden tersebut, JAS, Jabatan Perikanan Malaysia dan kita sendiri telah mengambil sampel untuk diuji punca pencemarah selut itu berlaku.
“Seperti yang saya maklumkan, ‘curtain silk’ yang kita pasang diperiksa setiap hari untuk pastikan tiada pencemaran hasil tambak ini terlepas.
“Kita juga akan lihat sama ada sampel tersebut sama atau tidak dengan sampel di ‘curtain silk’, selepas pembersihan dibuat setakat ini tiada lagi insiden sama berulang,” katanya.