Pulih remaja terlanjur impian Kak Yati

Admin

CAKNANYA mengenai gejala sosial dalam kalangan remaja Islam Pulau Pinang sejak terjun di arena politik kepartian kira-kira lima tahun lepas dimanfaatkan sebaik mungkin apabila dilantik menjadi Ahli Majlis bagi Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) untuk penggal kedua baru-baru ini.

NORHAYATI Jaafar.
NORHAYATI Jaafar.

Norhayati Jaafar yang lebih mesra dengan panggilan “Kak Yati” berkata, taklifan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Kesejahteraan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita di bawah majlis dapat mendekatkan beliau pada masalah golongan tersebut.

“Sejak tahun lepas lagi, Kak Yati dengan beberapa NGO (badan bukan kerajaan) Islam menjalinkan hubungan secara tidak langsung dengan sebuah pusat pemulihan remaja Islam di Selatan Seberang Perai.

“Di sana, semuanya sebaya dengan anak-anak Kak Yati. Sedih apabila menyelami perasaan mereka, terutama yang terlanjur dan melahirkan anak tidak sah taraf di sana.

“Mereka ini memang memerlukan sokongan dari segi pendidikan agama, sokongan moral dan psikologi kerana nasib yang menimpa mereka cukup mencabar,” ujar Norhayati dalam satu wawancara bersama wartawan Buletin Mutiara (BM), Zainulfaqar Yaacob selepas majlis jamuan amal di Bayan Lepas baru-baru ini.

Norhayati berkata, remaja Islam yang terlanjur seringkali dihina oleh masyarakat, walhal pasangan lelaki yang bersama untuk bersekududukan tanpa izin itu seakan ‘terlepas’ serta tidak pernah diheret ke muka pengadilan secara serius.

“Apabila ada kes remaja (perempuan) Islam dirujuk ke pusat pemulihan, sepatutnya pasangan lelaki juga harus dipulihkan atau dibawa ke muka pengadilan, bukan dilepaskan begitu sahaja.

“Tapi, yang lebih baik adalah perlu ada langkah pencegahan macam yang Kerajaan Negeri Pulau Pinang buat (iaitu) kempen nilai ‘Anda Bijak Jauhi Zina’ dengan kerjasama NGO Nisa, PWDC ( Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang) dan beberapa pihak yang lain lagi,” ujar beliau.

Pendidikan remaja

Norhayati berkata, kaunseling serta penerapan akidah Islam kepada remaja berkenaan merupakan salah satu pendekatan pemulihan sahaja, tetapi ia masih belum mampu mencegah anak Pulau Pinang secara holistik dari cabaran globalisasi sedia ada.

“Itu, salah satu kaedah pemulihan saja. Kalau benarbenar nak buat perubahan, salah satu kaedah lain yang kita perlu buat adalah memperkasa ‘pendidikan luar kelas’ seperti menyuburkan gaya hidup yang sihat sebagai muslimah sejati itu dalam diri semua anak-anak kita di rumah atau luar rumah.

“Tak boleh masalah remaja ini dipertanggungjawabkan kepada guru-guru sekolah sahaja. Perlu ada modul khusus untuk membawa mereka ke alam remaja Islam secara sihat seperti bengkel, usrah, perkhemahan serta aktiviti luar kelas yang sihat dan membina perkembangan intelektual mereka.

“Dalam parti, benda ini semua (pendidikan luar kelas) ada tapi apabila kita buat, kita dianggap kempen politik. Dalam majlis (MAINPP), memang boleh buat lebih baik berbanding buat guna sayap wanita (parti) dulu.

“Alhamdulillah, kita telah pun mengemukakan (kepada MAINPP) satu modul pendidikan remaja Islam sejak tahun lepas lagi dengan bantuan beberapa ilmuan seperti Dr. Danial Zainal Abidin (pensyarah Universiti Sains Malaysia merangkap Ahli Majlis MAINPP).

“Sekarang, kita dalam proses mendapatkan bajet daripada MAINPP serta pihak korporat jika ada peluang. Kalau negeri Selangor ada modul khusus untuk remaja yang dikenali sebagai SPICE, kerajaan pusat pun dengan BTN (Biro Tata Negara) walaupun ada beberapa dakwaan eleman rasis dipertikai, di Pulau Pinang perlu suatu modul yang lebih baik dari itu,” ujar beliau.

Sekolah Mengandung

Terlanjur berbicara mengenai pelan pemulihan remaja Islam yang terlanjur, Norhayati ditanya mengenai inisiatif Kerajaan Barisan Nasional Melaka memperkenalkan Sekolah Murid Mengandung.

“Sekolah ini ada pro dan kontra, tidak ada masalah untuk dibincangkan secara ilmiah dan intelektual. Ada pihak menolak idea ini kerana menganggap idea ini seolah-olah menggalakkan remaja Islam mengandung lalu digraduasi di sekolah khas itu.

“ Ada pendapat lain mengatakan bahawa sekolah ini diperlukan bukan untuk menggalakkan remaja kita berzina lalu berlindung di sekolah ini, tapi sekadar suatu pusat pemulihan semata-mata.

“Demi menangani gejala ketagihan dadah umpamanya, kita sudah boleh menerima salah satu idea atau pendekatan termasuk di negeri ini, iaitu mewujudkan pusat Serenti. Mengapa tidak menimbang idea yang saudara sebut itu demi tujuan yang cukup mencerminkan Islam itu sebagai ‘warahmatan lil ‘alamin’ (rahmat ke seluruh alam) yang dituntut dalam Islam, iaitu melindungi remaja Islam yang cuba mahu berubah atau diubah kembali ikut Islam?

“Di sinilah, pemimpin negeri perlu mempunyai idea yang konstruktif sekurang-kurangnya untuk dibincangkan kalau tidak dilaksanakan sekarang pun, supaya kita lebih dilihat cakna dan ambil tahu semua susah senang rakyat berbanding pemimpin-pemimpin pro pusat,” ujar beliau.

Beliau berkata, jika idea ini mahu dicanai dalam negeri-negeri Pakatan Rakyat demi memulihara kembali remajaremaja Islam yang terlanjur tersebut, beliau berharap modul pemulihan lebih menerapkan aspek pendidikan akidah Islamiah secara holistik.

Harapan

Dalam nada berseloroh, Norhayati berharap kepemimpinan Wanita lebih diberi peluang dalam memperkasa sokongan rakyat terhadap Kerajaan Negeri.

“Era pentadbiran Y.A.B. Ketua Menteri (Tuan Lim Guan Eng) dan Datuk Mansor Othman (Timbalan Ketua Menteri I) serta Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) sekarang wajar dipuji sebab kedua-dua PBT diketuai oleh wanita.

“InsyaAllah, kita sangat berharap agar Kerajaan Negeri, khususnya pejabat Y.B. Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) serta MAINPP sendiri di bawah Ustaz (Datuk) Mohd. Salleh Man akan terus membantu kita menjayakan impian melahirkan remaja Pulau Pinang yang sihat,” ujar beliau.

Norhayati berkata, “Remaja hari ini adalah cerminan masa depan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.”

NORHAYATI Jaafar (duduk, kanan sekali) bersama keluarga.
NORHAYATI Jaafar (duduk, kanan sekali) bersama keluarga.