Punca kebakaran kabel di Jambatan Pulau Pinang masih dalam siasatan

Admin

GEORGE TOWN – Punca sebenar kejadian kebakaran kabel dan litar elektrik di Jambatan Pulau Pinang masih dalam siasatan.

 

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih melakukan siasatan bagi mencari punca sebenar.

 

Dalam kejadian pada 22 Februari lalu, sembilan kabel elektrik di bawah Jambatan Pulau Pinang terbakar tetapi sejauh mana kerosakan…itu perlu tunggu laporan daripada TNB.

 

“Buat masa ini, TNB masih melakukan siasatan dan kerja-kerja pembaikan akan dilakukan setelah Pasukan Bomba dan Penyelamat memastikan keadaan selamat,” ujarnya apabila diminta mengulas mengenai punca kejadian sejurus selepas sidang media di pejabatnya di Komtar, tengah hari ini.

 

ZAIRIL Khir Johari.

Menurut Zairil, kabel elektrik yang berusia 30 tahun berkaitan diselenggara mengikut jadual ditetapkan termasuk menjalankan ujian setiap empat atau lima tahun.

 

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita sememangnya ingin tahu punca kejadian supaya kerja-kerja pembaikan dapat dijalankan sewajarnya,” katanya.

 

Pada 22 Februari 2021, berlaku kebakaran kabel dan litar elektrik di bawah Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 3.2 sekitar 4:00 petang membabitkan kabel 132kV dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tengah ke Bayan Mutiara.

 

Walaupun, terdapat dakwaan bahawa berlaku kebakaran semula di lokasi sama pada 23 Februari 2021, namun menurut laporan bahawa hasil siasatan TNB mendapati tiada kebakaran semula sebaliknya kesan daripada sisa-sisa kebakaran sebelum ini.

 

Difahamkan kerja-kerja pembaikan dijangka mengambil masa sehingga tiga bulan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI