GEORGE TOWN – Menyedari kepentingan bersukan terhadap kesihatan diri seseorang individu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkenalkan ‘Sukan untuk Semua’ sebagai platform untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang disediakan.
Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, inisiatif ‘Sukan untuk Semua’ atau ‘Sports for All’ ini bukan sahaja menumpukan aktiviti belia malah turut melibatkan kanak-kanak.
“Sasaran inisiaif ini adalah untuk melahirkan generasi masa hadapan yang sihat dan dalam masa sama melahirkan atlet-atlet baru dalam arena sukan negara.
“Paling penting dalam meningkatkan keinginan kanak-kanak untuk bersukan adalah dengan membenarkannya memilih dan mencuba sukan yang disukai atau diminati.
“(Dan) dalam konteks ini, pihak sekolah serta ibu bapa turut memainkan peranan dengan tidak memaksa kanak-kanak memilih sebaliknya beri pendedahan untuk memupuk minat bersukan sejak kecil,” ujarnya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui sejurus menyempurnakan Majlis Perasmian Gelanggang Memanah dan Seni Silat Gayong di Sekolah Kebangsaan Tan Sri P. Ramlee dekat sini 8 September lalu.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Kebajikan, Kemajuan dan Ikatan Wanita Pulau Pinang (PEMAJUNITA), Latifah Varshay Ibrahim selaku penganjur; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Shahrudin Mohamed Shariff; jurulatih silat, Nizam Razali; jurulatih memanah, Zahamizal Othman serta wakil-wakil sekolah dan ibu bapa.
Mengulas lanjut, Lip Chee memberitahu bahawa sebagai permulaan tahun ini, pihaknya hanya memperkenalkan satu sukan dalam sebulan sebagai salah satu cara galakan untuk menarik minat umum menyertai aktiviti sihat.
“Mulai tahun hadapan, kita (Kerajaan Negeri) akan menambah dua sukan untuk sebulan dan tahun berikutnya akan jadi tiga sukan untuk sebulan sehingga kita mampu melahirkan generasi bersukan yang sihat dan berdisiplin.
“Sebab itu, bagi saya sukan penting untuk dipupuk kerana sukan badan sihat, otak cerdas dan boleh melindungi diri sekiranya mereka (kanak-kanak) melibatkan diri dengan aktiviti sukan mempertahankan diri,” katanya.
Difahamkan, Lip Chee menyediakan peruntukan kepada pihak sekolah bagi membeli kelengkapan memanah (set dewasa dan set kanak-kanak) dan silat untuk kegunaan latihan yang akan diadakan setiap hari Sabtu bermula 14 September ini.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ALISSALA THIAN