PUS dinasihati lebih bertanggungjawab, patuhi protokol kuarantin

Admin

GEORGE TOWN – Individu yang baru pulang dari luar negara dan berstatus Individu Di Bawah Pengawasan (Person Under Surveillance, PUS) dinasihatkan supaya lebih bertanggungjawab dan mematuhi segala protokol kuarantin yang ditetapkan.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian apabila diminta mengulas berhubung insiden seorang wanita yang dipercayai memakai gelang kuarantin COVID-19 dilihat berbaris di sebuah bank di Butterworth, kelmarin.

 

“Saya difahamkan bahawa laporan polis telahpun dibuat berhubung perkara ini.

 

(Dan) mengikut peruntukan undang-undang, sesiapa yang berstatus PUS tidak boleh meninggalkan pusat kuarantin yang digazetkan selama 14 hari, sama ada bilik hotel atau bilik di rumah sendiri serta tanpa kontak dengan orang lain sepanjang tempoh tersebut.

 

“Kaedah (pengasingan) inilah yang menjamin kita bebas daripada kes-kes jangkitan yang dibawa dari luar negara ke tanah air kita,” ulasnya sambil berharap agar semua PUS patuh dengan sejujurnya garis panduan ditetapkan sepanjang tempoh kuarantin tersebut.

 

Menurut Kon Yeow, semua individu berstatus PUS perlu menjalani ujian saringan kali kedua pada hari ke-13 bagi mengesahkan tahap kesihatan mereka.

 

“Saya berharap mereka (PUS) patuh (semua syarat-syarat yang ditetapkan) demi kepentingan semua.

 

Janganlah merosakkan segala usaha yang telah kita capai selama ini ekoran (sikap) tidak bertanggungjawab dan melanggari protokol kuarantin.

 

“Misalnya, di Kedah baru-baru ini, wujud kluster baharu kerana PUS tidak mematuhi sekatan sebaliknya berada di kedai (makan).

 

“Saya percaya amaran tegas telah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan…sila patuhinya,” seru beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa terdapat penerbangan antarabangsa dari tiga lokasi iaitu Singapura; Medan, Indonesia dan Taiwan yang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).

 

“Sehingga minggu lalu, lebih 560 warganegara Malaysia pulang ke tanah air dari Singapura, Medan dan Taiwan.

 

“(Dan) penerbangan dari tiga lokasi ini masih ada yang mana kebiasaannya antara 10 hingga 20 penumpang tiba,” jelasnya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI