GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan dana tambahan bagi membantu Kerajaan Pulau Pinang menyegerakan projek pembinaan transit aliran ringan (LRT) George Town – Bayan Lepas, dengan mengambil kira kebimbangan pelbagai pihak berhubung cadangan pembangunan ‘Pulau A’ atau ‘Silicon Island’ di bawah projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pulau Pinang (PSI).
Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim memberitahu perkara itu kepada pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani Peringkat Negeri Pulau Pinang di Dewan Besar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Permatang Pauh dekat sini pada 6 Mei 2023.
“Saya mengambil kesempatan ini mengumumkan bahawa untuk meredakan permasalahan (penambakan tiga) pulau (buatan) supaya dapat dikaji semula dan diperkecilkan skop, Kerajaan Persekutuan akan menambah dana dalam suatu skim yang besar bagi membolehkan Kerajaan Pulau Pinang segera melaksanakan LRT,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Tambun, Perak sambil berharap penyaluran dana persekutuan itu nanti dapat membantu Kerajaan Negeri merosotkan kesesakan trafik di Pulau Pinang.
Di samping itu, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Seri Khadijah Mohd. Noor serta barisan tetamu kehormat paling utama lain kerana meluangkan masa menyertai majlis rumah terbuka tersebut.
Sebelum itu, Kon Yeow berkata bahawa projek pembangunan masa depan ‘Silicon Island’ dijangka selesai pada tahun 2025, sebelum kerja-kerja pembangunan industri pada tahun 2026 dan operasi ‘Green Tech Park’ (GTP) GTP adalah dijangka pada tahun berikutnya.
“(Pulau A atau) ‘Silicon Island’ bakal dilengkapi dengan taman perindustrian berteknologi tinggi dikenali sebagai ‘Green Tech Park’ (GTP) yang mana ia bakal menyediakan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta infrastruktur teknologi digital, e-dagang dan juga proses penyumberan luaran (BPO) demi pembangunan berterusan negeri ini.
“Malah, di sini juga akan melibatkan pembinaan depoh utama sistem aliran transit ringan (LRT) yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Pulau Pinang sekian lama,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Bertemakan ‘Di Sini Masa Depan Bermula’, Kon Yeow menjelaskan bahawa pentadbirannya komited meneruskan proses memohon kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pulau Pinang sebelum memulakan kerja-kerja tambakan PSI.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa mengikut kajian berkaitan, keseluruhan projek pembangunan bercampur di bawah PSI dianggarkan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM2.2 trilion, menarik pelaburan asing bernilai lebih RM70 bilion serta dengan jumlah pendapatan keseluruhan kepada negara berjumlah RM226.5 bilion.
“Serentak itu, ia (PSI) juga dijangka mewujudkan 460,000 peluang pekerjaan dalam jangka masa 30 tahun,” ulasnya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang merangkap Pengerusi Negeri Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Buletin Mutiara difahamkan, sehingga 12.00 tengah hari tadi lebih 10,000 rakyat berbilang kaum menyertai majlis rumah terbuka bersama-sama Anwar dan isteri, Datin Seri Utama Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Turut serta, Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang dan isteri, Datin Teoh Hooi Tuang; mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI