Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
BALIK PULAU – Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang terus memperkasakan program kemasyarakatan dengan pembinaan pusat dialisis di sini baru-baru ini bagi memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan rawatan bagi pesakit buah pinggang.
Pusat rawatan yang diberi nama Pusat Dialisis CAT Negeri Pulau Pinang tersebut dirasmikan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Guan Eng pada ucapannya berkata, terbinanya pusat dialisis tersebut adalah untuk memperkasakan perkhidmatan kesihatan dengan memastikan setiap rakyat layak khususnya kepada golongan kurang mampu.
“Sememangnya, terdapat banyak kemudahan dialisis di seluruh negeri ini (Pulau Pinang), tetapi bukan semua individu mampu untuk menjalani rawatan ini disebabkan kosnya yang tinggi.
“Maka, sebagai kerajaan berjiwa rakyat, pusat dialisis ini ditubuhkan agar golongan kurang mampu di luar bandar turut berpeluang mendapat rawatan dan kelengkapan setaraf dengan perkhidmatan di pusat rawatan swasta,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pusat Dialisis CAT Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abu Jamal Nordin dan Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Projek seumpamanya yang menepati komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut adalah hasil usahasama syarikat pembekal peralatan perubatan, B. Braun Medical Industry yang menaja mesin dialisis dengan keseluruhan kos berjumlah RM500,000.
Guan Eng memberitahu, hasil kecekapan kewangan Kerajaan Negeri telah mampu merealisasikan pusat tersebut dengan pemberian subsidi bagi rawatan dialisis kepada golongan yang memerlukan.
“Atas dasar kebajikan, pusat ini bukan bermatlamatkan laba kerana pesakit hanya dikenakan bayaran RM30 bagi setiap rawatan.
“Hasil yang kita (Kerajaan Negeri) dapat kita pulangkan semula kepada rakyat,” ujar beliau.