Pusat digesa laksana polisi bersara 60 tahun sektor swasta

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan pusat digesa mempertimbang cadangan untuk melanjutkan usia persaraan kakitangan swasta sehingga 60 tahun sebagaimana yang diamalkan dalam sektor awam.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng, amalan melanjutkan usia persaraan pekerja melewati 60 tahun sebenarnya telah lama diamalkan di negara-negara maju.

“Kebanyakan negara Eropah menetapkan 65 (tahun) sebagai umur persaraan, manakala Amerika Syarikat dan Jerman menetapkan (usia persaraan pada) 67 tahun.

“Negara jiran kita seperti Thailand pun sudah menetapkan 60 (tahun) sebagai umur persaraan,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Katanya lagi, pekerja yang berumur sekitar 55 hingga 60 tahun sebenarnya berada dalam zaman paling produktif dan pengalaman mereka haruslah digunakan secara optimum.

Beliau berkata, pelaksanakan polisi negara-negara maju tersebut sekaligus dapat membantu menyelesaikan masalah hutang isi rumah rakyat yang kian kronik sebagaimana didedah dalam dalam Laporan Tahunan Bank Negara 2010.

“Jumlah hutang isi rumah setakat akhir tahun 2010 berada di tahap RM581 bilion atau pun 76 peratus dari KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar).

“Ini bermakna, Malaysia mempunyai tahap hutang isi rumah yang kedua paling tinggi di Asia selepas Korea Selatan.

“Dengan hutang isi rumah yang tinggi di Malaysia dan tanpa apa-apa pertolongan daripada kerajaan persekutuan BN yang sendiri berhutang piutang, rakyat terpaksa bekerja lebih lama untuk menampung diri dan keluarga,” ujarnya.