BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memperkasakan dasar perkongsian awam-swasta (PPP) berlandaskan Visi Penang2030 supaya lebih ramai lagi golongan kurang bernasib baik dapat menikmati kemudahan pendidikan secara saksama di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa berucap dalam majlis penyampaian replika cek sumbangan dan perasmian bilik komputer tajaan Jabil Pulau Pinang di Pusat Jagaan Suria dekat sini pada 15 Oktober 2022.
“Kita juga perlu melakukan lebih banyak lagi untuk membina masyarakat yang prihatin dan mengurangkan ketidaksamaan sedia ada.
“Yang lebih penting, kita perlu bekerjasama membantu mereka memerlukan termasuk golongan miskin, kurang bernasib baik dan mereka yang tercabar daripada segi akademik bagi memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dalam meraih manfaat Visi Pulau Pinang2030.
“Oleh itu, Pusat Jagaan Suria adalah contoh perkongsian awam-swasta berjaya, yang menguatkan fakta bahawa jika kita bersatu, kita boleh membuat semua perkara menjadi realiti termasuk sumbangan-sumbangan yang telah saya sebut sebentar tadi,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.
Tambah Kon Yeow, sejak tahun 2018 hingga 2021, seramai 154,269 pelajar sekolah rendah dan menengah telah menyertai kelas pengekodan percuma yang dianjurkan oleh Kluster Sains Pulau Pinang (PSC) dengan melibatkan pembiayaan Kerajaan Negeri sebanyak RM6 juta.
Itu, menurut beliau, tidak termasuk usaha bersama Kerajaan Negeri dan beberapa pihak swasta dalam mewujudkan empat buah Perpustakaan Digital Pulau Pinang iaitu dua berhampiran Penang Free School dan dua lagi masing masing di Butterworth dan Batu Maung.
“Kita mahu para pelajar terlibat secara langsung dalam arus pendidikan teknologi dan menambah minat mereka dalam bidang teknologi serta pengetahuan digital,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.
Buletin Mutiara difahamkan, usaha mewujudkan bilik komputer di Pusat Jagaan Suria adalah tajaan Jabil Penang, manakala Greatech Technology Berhad menyampaikan sumbangan bernilai RM200,000 kepada Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal Pulau Pinang untuk menyokong pendidikan golongan orang kurang upaya (OKU) di sini.
Sebuah lagi firma swasta, Bold Pack Industries turut menyumbang dana untuk kos pembinaan lantai dan baik pulih makmal komputer sedia ada di sini.
Presiden Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal Pulau Pinang, Datuk Seri Wong Siew Hai; Pengarah Urusan Jabil Pulau Pinang, Tan Siew Jin; Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Greatech Technology Berhad, Datuk Tan Eng Kee dan Pengarah Urusan Bold Pack Industries Sdn. Bhd., Jimmy Khor turut sertai majlis tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD