SERI DELIMA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid berharap penganjuran acara kempen derma darah peringkat komuniti di perkarangan Dewan MPKK Island Park di sini sedikit banyaknya membantu Pusat Tabung Darah Hospital Pulau Pinang (HPP) mencapai kapasiti bekalan darah pada tahap efisien.
“Kalau diikutkan di (Kawasan Dewan Undangan Negeri, KADUN) Seri Delima ini tiap-tiap tahun memang menganjurkan program kempen derma darah, tetapi pada tahun 2020 dan 2021 kita (Pusat Khidmat ADUN) tidak boleh menganjurkan program ini (ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP).
“Sepanjang tempoh pandemik (COVID-19) sebelum ini juga, (Pusat) Tabung Darah kita (di HPP) memang kekurangan darah.
“Justeru, dengan penganjuran (kempen derma darah) pada hari ini, kita harap tujuannya untuk membantu (Pusat) Tabung Darah meningkatkan kapasiti bekalan darah di HPP tercapai,” jelasnya kepada Buletin Mutiara di sini pada 5 Jun 2022.
Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak St. John Ambulance Malaysia (SJAM) Pulau Pinang di bawah teraju Ong Swee Jin dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Island Park, Dr. (H) Tan Seang Aun dan pihak HPP atas penganjuran bersama acara kempen derma darah di sini.
“Kempen derma derma darah pada minggu lepas di Island Glades pun, Alhamdulillah kita telah terima penyertaan melebihi 50 orang sasaran (iaitu) seramai 61 orang.
“Sehingga 3:00 petang ini, saya berharap di sini pun kita akan dapat mencapai sasaran minimum penderma darah (iaitu 50 orang),” ujarnya.
Bercakap pada sidang media sama, Swee Jin memberitahu dalam tempoh hampir sejam sejak 9:00 pagi tadi acara kempen derma darah di sini telah menerima 11 penyertaan dalam kalangan komuniti penduduk lokal.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB