Pusat Khidmat KADUN Penaga, Pinang Tunggal & Bertam dirasmi

Admin

PENAGA – Bagi kepentingan penduduk, buat julung kalinya, Kerajaan Pakatan Rakyat berjiwa rakyat telah mengambil inisiatif khas untuk mewujudkan pusat khidmat di kawasan-kawasan pembangkang khususnya Penaga.

Inisiatif ini lazimya adalah susulan daripada perlantikan 11 Pegawai Penyelaras KADUN pada April 2010 yang bertanggungjawab untuk mendalami masalah-masalah rakyat di 11 kawasan tumpuan berkenaan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, sekiranya sebelum ini para penduduk di kawasan-kawasan pembangkang hanya boleh berurusan dan membuat sebarang permohonan melalui JKKK yang kebiasaannya beroperasi di kediaman masing-masing, kini, dengan adanya pusat-pusat khidmat dikelola oleh Pegawai Penyelaras KADUN, ia akan lebih berpusat dan sekaligus memudahkan segala urusan berkait dengan kebajikan rakyat jelata.

Pada masa sama, ia juga bakal membuka lebih banyak ruang bagi penduduk tempatan untuk berinteraksi dan merujuk segala masalah kepada para pegawai bertugas.

Pendek kata, inilah usaha berterusan kita dalam misi mewujudkan sebuah Kerajaan baik! Matlamat kita adalah untuk selesaikan masalah rakyat. Justeru, tiga KADUN bersama 17 JKKK Kepala Batas perlu bersama untuk membawa perubahan ini,’’ katanya pada Majlis Pelancaran Pusat Khidmat Penaga, Bertam dan Pinang Tunggal di sini baru-baru ini.

penaga

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pesuruhjaya Pas Negeri Pulau Pinang, Ustaz Salleh Man, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tuan Haji Mohamad Sabu serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kebajikan Masyarakat, Penyayang dan Alam Sekitar, Y.B. Tuan Phee Boon Poh.

Pada majlis yang dihadiri hampir 200 penduduk tersebut turut menyaksikan pelancaran Pusat Khidmat Bertam dan Pinang Tunggal. Malah, majlis turut dimeriahkan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang Kejohanan Futsal Padang Anjuran JKKKN Bakau Tua Dengan Kerjasama Pusat Khidmat KADUN Penaga yang berlangsung pada sebelah pagi hari sama.

Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras KADUN Penaga, En. Rosidi Hussain berkata, beliau amat berbesar hati dengan kesudian Ketua Menteri melancarkan pusat khidmat yang bakal berada di bawah pengurusannya.

Bagi mendalami masalah rakyat, Pusat Khidmat Penaga akan beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 5 petang pada hari biasa Isnin – Jumaat.

Sekiranya berlaku kecemasan pada hari minggu, para penduduk boleh menghubungi nombor talian Pegawai Penyelaras dan juga pegawai-pegawai bertugas yang dipamer di luar pejabat,’’ jelas beliau.

Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Bertam, Abdul Latif Abdullah memberitahu bahawa tempoh masa operasi Pusat Khidmat Bertam adalah sama seperti DUN Penaga.

Pusat Khidmat Pinang Tunggal akan beroperasi pada pukul 8.30 pagi – 4.30 petang dari hari Isnin – Jumaat,’’ jelas Pegawai Penyelaras KADUN Pinang Tunggal, Abdul Latif Wanchik.

Sementara itu, sejurus selepas tamat majlis pelancaran, Guan Eng turut menghadiri Majlis Penyampaian Program Penghargaan Warga Emas di Pusat Khidmat DAP Kepala Batas dan seterusnya Ceramah Perdana Bersama Mohamad di padang awam Pasir Gebu, Penaga.