BAYAN BARU – Pemaju, Kumpulan SP Setia Bhd. (SP Setia) menyasarkan kerja-kerja pembinaan pusat konvensyen Subterranean Penang International Conference & Exhibition Center (SPICE) yang kini dalam fasa akhir akan siap sepenuhnya pada Februari 2017.
Perkara tersebut dimaklumkan pada sesi taklimat sempena lawatan kerja Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow ke tapak projek pada 23 Februari lalu.
Kon Yeow berkata, kerja-kerja pembinaan pusat konvensyen SPICE membabitkan kos RM330 juta telah memasuki fasa akhir dan majlis pertama bakal diadakan di lokasi berkaitan pada awal Mac 2017.
“Ia (SPICE) siap tepat pada masanya kerana Pulau Pinang kini bukan sahaja merupakan destinasi tumpuan pelancong, malah juga lokasi MICE (mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran).
“SPICE akan menjadi ikon terbaru untuk Pulau Pinang dengan bercirikan reka bentuk moden dan terkini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota pada sesi lawatan berkaitan.
Turut serta, barisan kepimpinan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) iaitu Datuk Bandar, Dato’ Patahiyah Ismail dan Setiausaha Bandaraya, Ar. Yew Tung Seang.
Komponen SPICE terbahagi kepada dua fasa pembangunan, iaitu fasa pertama merangkumi pusat konvensyen bernilai RM330 juta dan fasa kedua, pembinaan hotel bertaraf empat bintang (RM350 juta) yang dijangka siap sepenuhnya pada 2019.
Mengulas mengenai kelewatan projek dari tarikh dijadualkan pada penghujung November lalu, Kon Yeow dalam responsnya menyatakan bahawa, meskipun lewat, beliau berpuas hati terhadap perjalanan dan perkembangan projek tersebut.
“Kita (Kerajaan Negeri) boleh faham tentang kelewatan ini kerana kerja-kerja di tapak masih berjalan lancar,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika diaju mengenai kesesakan lalu lintas yang berlaku di sekitar kawasan SPICE, Kon Yeow menjelaskan, beberapa perancangan sedang dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut.
“Kerajaan Negeri mempunyai beberapa perancangan dan pelan pengurusan trafik.
“Antara penyelesaian jangka panjang, sebuah underpass (laluan bawah) akan dibina berdekatan kawasan bulatan Bayan Baru dan juga perancangan untuk membina stesen LRT (light rail transit) yang tertakluk kepada kebenaran Kerajaan Pusat.
“Pada masa sama, pihak Majlis akan terus memantau keadaan trafik di sini (Bayan Baru dan Relau), beberapa penyesuaian dan pelarasan boleh dilakukan mengikut kesesuaian dengan keadaan semasa,” jelas beliau.