Pusat lulus RM4 bilion projek KIGIP, Ketua Menteri rakam penghargaan

Admin
img 20240702 wa0066

SUNGAI BAKAP – Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana bersetuju meluluskan perbelanjaan RM4 bilion untuk Projek Air Perak – Pulau Pinang di Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), bagi memenuhi keperluan air dekat Pulau Pinang.

Sambil merakamkan penghargaan tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap projek berskala besar tersebut dapat memperbaiki proses penyampaian air ke kawasan kejiranan hujung paip agihan (EoL) sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS) termasuk Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Bakap kelak.

Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu berkata demikian dalam Majlis Sembang Santai Bersama-sama Penduduk Kampung Kepala Gajah di sini pada 2 Julai 2024.

“Ini, sememangnya sudah lama kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) usahakan, tetapi oleh kerana kita bukan dalam kesepakatan Kerajaan Persekutuan (era Perikatan Nasional) sebelum ini, banyak usaha pun tak dapat kelulusan projek.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim) yang merupakan anak Pulau Pinang serta tahu akan sumbangan negeri Pulau Pinang kepada negara, kerana ekonomi Pulau Pinang berkembang maju serta menambah permintaan air (hatta) menjejaskan proses penyampaian air ke kawasan-kawasan tertentu,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Sehubungan itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang merayu kepada sekalian pengundi Sungai Bakap supaya memberi peluang kepada calon Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin untuk dipilih sebagai ADUN baharu pada Sabtu ini.

Serentak pada majlis sama, Kon Yeow turut menyaksikan Ketua Umno Cawangan Kepala Gajah, Fadzli Saadin menyampaikan 50 pek barangan keperluan dapur kepada penerima terpilih dalam kalangan penduduk lokal.

Turut serta, ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik, ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung, Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Pulau Pinang, Zahar Zainul.

Terdahulu, Anwar di Dewan Rakyat hari ini dilaporkan berkata selain memenuhi permintaan air bersih di Pulau Pinang kira-kira 700 juta liter sehari (MLD), peruntukan Persekutuan berjumlah RM4 bilion itu adalah bagi menampung keperluan awal mencecah 300 MLD di utara Perak iaitu Kerian, Larut Matang, Selama Perak dan KIGIP sendirian

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar dan Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS