GEORGE TOWN – Hari ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mula membuka Pusat Panggilan COVID-19 dengan nombor panggilan, 04 – 261 8000 dari jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari, dan akan beroperasi 24 jam sehari kelak.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pusat panggilan tersebut akan meningkatkan masa tindak balas penyelarasan terhadap mereka yang didapati positif, menjalani kuarantin di rumah serta lain-lain berkaitan.
“Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan membekalkan maklumat senarai pesakit-pesakit dikuarantin, dan diharap dengan pusat panggilan ini (Pusat Panggilan COVID-19 Kerajaan Negeri Pulau Pinang) yang merupakan tambahan kepada talian sedia ada iaitu Pusat Panggilan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) atau CAC Call Centre; Pusat Kawalan Bersepadu COVID-19 Pulau Pinang atau Penang Covid -19 Unified Command Centre (PUCC) dan careline Gabungan PgCare atau PgCare Alliance dapat mempertingkatkan masa tindak balas atau ‘response time’ sedia ada kini,” jelasnya pada sesi lawatan ke pusat panggilan berkaitan di sini pada 15 September 2021.
Turut serta, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Affendi Rajini Kanth dan Pegawai Psikologi Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Azlan Seruji.
Dalam pada itu, Affendi Rajini menyatakan bahawa pengoperasian Pusat Panggilan COVID-19 Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini adalah melibatkan tujuh operator berserta empat bahasa utama.
“Pada hari ini, ada 401 kes yang kita akan buat panggilan keluar kepada mereka berkenaan berdasarkan data daripada JKNPP,” ulasnya ketika ditemui.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memberitahu bahawa mulai 17 September 2021, empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu SPICE Convention Centre, Dewan Millenium, SP Arena dan Dewan Serbaguna Sungai Bakap akan dibuka secara walk-in kepada bukan warganegara bermula jam 2 petang setiap hari.
“Sehingga semalam (14 September 2021), seramai 9,011 individu (iaitu populasi dewasa, warganegara) telah mengambil inisiatif ‘walk-in’ membabitkan 10 PPV yang dibuka untuk tujuan berkaitan sejak 8 September 2021.
“Malah, mereka yang terlepas janji temu dos kedua juga adalah dialu-alukan untuk ‘walk-in’ ke mana-mana PPV tersenarai bagi melengkapkan dos suntikan,” serunya.
Di samping itu, Kon Yeow menyatakan bahawa berdasarkan data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sehingga 14 September 2021, merekodkan bahawa populasi dewasa yang masih belum memperoleh sebarang suntikan vaksin di negeri ini adalah seramai 116,403 orang.
“Bagaimanapun, jumlah baki tersebut adalah termasuk mereka yang telah mendapatkan suntikan secara berbayar (atas inisiatif sendiri) di klinik-klinik dan hospital-hospital swasta berdaftar,” katanya.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS