Pusat Penang2030 KADUN Machang Bubuk beri manfaat kepada komuniti setempat

Admin

MACHANG BUBUK – Sebuah dewan yang usang dan terbiar sejak sekian lama dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Machang Bubuk kini ditransformasikan menjadi Pusat Penang2030 yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pusat yang berkonsepkan ‘shared space’ itu dibangunkan sebagai salah satu elemen utama untuk memacu dan mempercepatkan pencapaian Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Ketua Menteri meneliti kemudahan yang terdapat di Pusat Penang2030 KADUN Machang Bubuk.

“Pusat Penang2030 akan berperanan sebagai ‘one stop centre’ untuk sumber rujukan dan penyebaran maklumat berkaitan pelaksanaan inisiatif serta program di bawah Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa.

“Di sini, aktiviti kemasyarakatan, pembangunan sosial dan pemerkasaan komuniti melalui bimbingan serta latihan secara berterusan akan menjadi fokus utama, dengan penglibatan jabatan dan agensi kerajaan termasuklah pihak syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Justeru, adalah diharapkan Pusat Penang2030 KADUN Machang Bubuk ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya mengikut kreativiti dan kesesuaian komuniti setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Penang2030 KADUN Machang Bubuk sempena Jelajah ❤️PENANG ke Parlimen Bukit Mertajam di sini sebentar tadi.

Bersama barisan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MKPP) dalam kawasan Machang Bubuk.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arsyad serta Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah, Kamarul Haizal Koderat.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa Pusat Penang2030 KADUN Machang Bubuk merupakan yang keempat telah beroperasi secara rasmi di negeri ini.

“Kewujudan pusat ini sekali gus merealisasikan objektif penubuhan asal dalam memperkasakan komuniti untuk bangkit semula terutama dalam menghadapi pasca pandemik COVID-19,” ujarnya lanjut.

Menyantuni penduduk setempat yang hadir.

Dalam pada itu, Khai Loon dalam ucapannya berharap agar Pusat Penang2030 dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk Taman Sejahtera yang mana kebanyakannya adalah golongan berpendapatan rendah (B40).

“Pusat ini akan dilengkapi dengan pendingin udara dan perkhidmatan internet percuma bagi membolehkan kanak-kanak menelaah pelajaran mereka di sini.

“Selain itu, pusat ini juga akan dijadikan sebagai lokasi untuk kita memberikan perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri seperti program i-Sejahtera dan sebagainya,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyeru penduduk setempat supaya melindungi pusat tersebut dan kawasan sekitarnya daripada perbuatan vandalisme.

“Jagalah tempat ini dengan sebaik-baiknya supaya ia dapat digunakan untuk manfaat seluruh penduduk di kawasan ini,” serunya.

Sementara itu, Chee Keong yang turut berucap sebelum itu menyatakan bahawa sebanyak RM40,000 telah diperuntukkan oleh Pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam kepada Sekolah Taman Sejahtera di sini untuk menaik taraf makmal komputer.

Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM77,000 lagi bagi menaik taraf padang futsal di kawasan tersebut.

“Sekarang Taman Sejahtera sudah ada Pusat Penang2030, dan saya berharap penduduk di sini dapat menikmati kualiti yang lebih baik,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : NURATIKAH RAHMAT