LAPAN tahun penantian, kini empat blok bangunan lima tingkat Pusat Pendidikan Al-Itqan Pulau Pinang dekat Kampung Masjid 1, Teluk Kumbar menjadi satu lagi mercu tanda pembangunan tanah wakaf di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata demikian semasa merasmikan pengoperasian institusi pendidikan swasta tersebut di sini pada 19 Ogos 2024.
“Yang paling penting, pembinaannya (Pusat Pendidikan Al-Itqan Pulau Pinang) di atas tanah wakaf.
“Maka selepas ini, segala pembinaan pembinaan tanah wakaf akan menjadikan sekolah ini adalah sekolah yang berasaskan kepada wakaf sepenuhnya… kerana asas pembinaan sekolah ini adalah di atas tanah wakaf,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat dalam majlis berkenaan.
Ditubuhkan pada tahun 1998, sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Rendah Islam Al-Islah.
Semasa itu, sekolah tersebut beroperasi dengan 70 orang kapasiti pelajar dan enam guru.
Sedekad kemudian – pada tahun 2008 – ditukar pada nama Sekolah Rendah Islam Al-Itqan serta didaftarkan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Pada tahun 2015, ditubuhkan pula Tadika Pintar Al-Itqan yang mana rancangan pembinaan empat blok baharu bangunan sekolah berkaitan dibiayai oleh Kerajaan Negeri hari ini.
Pada tahun 2018, Taska Pintar Al-Itqan ditubuhkan; pada waktu itu Sekolah Menengah Islam Al-Itqan berpindah ke bangunan sementara dekat Sungai Ara bagi mengosongkan tapak pembinaan projek sekolah yang dirancang.
Bermula pada bulan Mac 2024, Pusat Pendidikan Al-Itqan Pulau Pinang beroperasi di bangunan baru yang ketika ini menempatkan seramai 509 pelajar, 60 guru dan 18 staf sokongan.
Menyorot sejarah perkembangan Pusat Pendidikan Al-Itqan Pulau Pinang tersebut, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung memberitahu bahawa empat bangunan sekolah bernilai kira-kira RM15 juta ini adalah disumbangkan oleh Kerajaan Negeri bagi memartabatkan pendidikan Islam yang melibatkan kepentingan generasi Bumiputera dan Melayu Pulau Pinang pada masa akan datang.
“Proses pembinaan institusi pendidikan itu tidak boleh dalam sehari.
“(Seperti rancangan pembinaan Pusat Pendidikan Al-Itqan Pulau Pinang yang memakan masa kira-kira lapan tahun), jadi bagaimana kita nak mempercepat proses pembangunan wakaf di atas tanah-tanah wakaf sedia ada di negeri ini,” jelas beliau sambil merakamkan penghargaan kepada keluarga pemberi wakaf tanah seluas kira-kira tiga ekar untuk projek pembinaan bangunan sekolah agama tersebut.
Sebelum pada itu, Pengerusi Jemaah Pengurusan Sekolah Pusat Pendidikan Al-Itqan Pulau Pinang, Dr. Aidiahmad Dewa memberitahu ketika ini institusi pendidikan swasta yang bernaung di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) tersebut menyedikan pendidikan seawal dua tahun hingga 17 tahun di taman asuhan kanak-kanak (taska), taman didikan kanak-kanak (tadika), sekolah rendah Islam (SRI)dan sekolah menengah Islam (SMI).
“Saya ini boleh dikatakan generasi baharu; di sebalik projek wakaf bagi mewujudkan bangunan sekolah ini sebenarnya melibatkan begitu ramai pihak (yang mana) sebahagian mereka berada dalam dewan ini.
“Tiada kata-kata yang boleh saya ungkapkan melainkan ucapan alhamdulillah.
“Walaupun (Pusat Pendidikan Al-Itqan Pulau Pinang) ini adalah satu institusi pendidikan swasta, kita menyokong usaha Kementerian (KPM) dan negara untuk membina generasi berilmu, beramal dan bertakwa.
“Dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan komuniti setempat, insyaAllah kita akan berusaha mencapai tahap kemenjadian murid mengikut silibus pendidikan kebangsaan,” jelasnya lagi.
Turut serta, ADUN Bayan Lepas merangkap Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Azrul Mahathir Aziz; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Marzuki Hassan; Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik; dan mantan Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB