Pusat penyembelihan ayam halal, MBPP bakal teliti maklum balas

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil maklum akan permintaan dan harapan para peniaga untuk mewujudkan pusat penyembelihan ayam halal di bahagian pulau negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selaku pihak bertanggungjawab akan meneliti semua cadangan dan maklum balas yang diterima hasil pertemuan dengan Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang sebentar tadi.

“Kita (Kerajaan Negeri) mengambil maklum semua permintaan serta cadangan yang telah dikemukakan oleh wakil persatuan.

“Justeru, pada masa akan datang, MBPP akan mengkaji sekiranya terdapat keperluan untuk mewujudkan pusat penyembelihan bagi memenuhi permintaan ayam segar halal di kawasan pulau,” ujarnya pada pertemuan dengan wakil-wakil Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang di sini.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Dato’ Ar. Yew Tung Seang (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP); Rashidah Jalaludin (Pengarah Bahagian Pelesenan MBPP) dan wakil-wakil Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang diketuai Pengerusinya, Azizur Rahman A. Dulkainai.

Terdahulu, Azizur Rahman menyuarakan kegusaran berhubung status penyembelihan ayam mengikut syarak bagi masyarakat Islam ekoran tindakan Majlis menghapuskan tempat penyembelihan ayam membabitkan semua pasar basah di bahagian pulau.

Tuntas, pihak berkaitan menggesa Kerajaan Negeri dan MBPP supaya mewujudkan pusat penyembelihan ayam halal di setiap kawasan mahupun daerah di sini demi kemaslahatan umat Islam.

Difahamkan kini, bekalan ayam segar halal di bahagian pulau diperoleh daripada 12 pengedar ayam halal yang beroperasi di Seberang Perai.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR