GEORGE TOWN – Pusat Pertanian Relau seluas 64 ekar yang terletak dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Paya Terubong bakal dibangunkan semula oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin berkata, bagi tujuan itu Kerajaan Negeri telah menganjurkan pertandingan Relau Agricultural Station Penang A Master Plan yang menawarkan hadiah sehingga RM30,000.
“Objektif pertandingan ini adalah untuk mendapatkan satu reka bentuk pelan induk terbaik yang boleh mempamerkan produk-produk popular di negeri Pulau Pinang secara menyeluruh.
“Contohnya Pulau Pinang terkenal dengan buah durian.. jadi kita mahu semua spesies durian popular yang ada di negeri ini boleh didapati di kawasan Relau.
“Oleh itu, kita berharap agar Pusat Pertanian Relau dapat meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) selain menjadikan Pulau Pinang sebagai “Lembah Silikon’ bagi pertanian berteknologi tinggi pada masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 dekat Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini sebentar tadi.
Turut serta, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Sooh Hin serta Pengurus Besar George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), Dr. Ang Ming Chee.
Mengulas lanjut, Norlela berkata pertandingan itu akan memfokuskan idea untuk menggambarkan Pulau Pinang bukan sahaja sebagai “Lembah Silikon” bagi industri elektrik dan elektronik (E&E) tetapi turut mempunyai teknologi terbaik dalam jaminan bekalan makanan.
“Selain itu, kita mahu tonjolkan aspek kemampanan dalam apa jua projek yang dilaksanakan di negeri ini,” katanya lagi.
Belau berkata, pertandingan tersebut dibuka kepada semua termasuk bukan warganegara Malaysia kerana ia dijalankan secara dalam talian sepenuhnya.
“Kita juga bekerjasama dengan Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM), Pertubuhan Arkitek Malaysia, Pertubuhan Perancang Malaysia serta pihak-pihak yang terlibat dalam sektor industri, pertanian dan agroteknologi,” ulasnya.
Sementara itu, Soon Hin mengalu-alukan usaha dan inisiatif untuk membangunkan semula Pusat Pertanian Relau melalui penganjuran pertandingan berkaitan.
“Projek ini adalah selaras dengan aspirasi dan matlamat Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang terutamanya di bawah teras mempelbagaikan produk pelancongan.
“Di bawah teras ini juga, kami menekankan penambahan nilai dalam asset pelancongan seperti warisan, kebudayaan dan kesenian.
“Justeru, adalah diharapkan agar pertandingan ini dapat memajukan lagi ekonomi pelancongan Pulau Pinang, dan pada masa sama membina ekosistem ekopelancongan dan pertanian urban yang semakin kukuh di negeri ini,” jelasnya lagi.
Difahamkan, semua peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan yang bermula dari 10 Mei hingga 22 Jun 2022 itu tidak akan dikenakan apa-apa bayaran.
Selain tempat pertama, pertandingan itu juga menyediakan hadian berjumlah RM15,000 untuk pemenang tempat kedua, tempat ketiga (RM7,000) dan lima lima hadiah saguhati masing-masing bernilai RM2,000.
Sebarang pertanyaan boleh e-melkan ke alamat [email protected].
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & AHMAD ADIL MUHAMAD