Pusat-pusat kuarantin COVID-19 terima sumbangan kelengkapan kebersihan diri

GEORGE TOWN – Beberapa syarikat swasta, perhotelan dan orang perseorangan tampil menghulurkan sumbangan untuk kegunaan para pesakit yang menerima rawatan lanjut COVID-19 di pusat-pusat kuarantin di negeri ini.

Sumbangan yang berupakan kelengkapan kebersihan diri diserahkan kepada Pegawai Perhubungan Awam Hospital Pulau Pinang (HPP), Jefri Junaidi Idris yang mewakili Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh selaku pengelola bantuan tersebut berkata, sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak itu dalam tempoh masa yang singkat membuktikan kesepakatan dan hubungan rapat di antara Kerajaan Negeri dan pihak swasta.

“Pemberian hari ini adalah hasil maklum balas daripada JKNPP berhubung keperluan kelengkapan kebersihan diri yang diperlukan oleh para pesakit yang dikuarantin akibat wabak COVID-19.

“Justeru, Ketua Menteri telah mengarahkan saya dan YB Teh (ADUN Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng) untuk membantu menguruskan perkara berkenaan.

“(Dan) permohonan sumbangan daripada pihak swasta dan perkilangan pun dibuat, manakala sumbangan daripada perhotelan adalah atas bantuan YB Yeoh (Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin),” ujarnya sejurus majlis penyerahan sumbangan di Komtar sebentar tadi.

Hadir sama Yeoh Soon Hin; Teh Lai Heng; Lim Siew Khim (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Sungai Pinang) dan Tan Hooi Peng (Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP).

Selain sabun mandi, berus gigi, ubat gigi syampu turut disumbangkan adalah tuala mandi yang diterima daripada Malaysian Association of Hotels (Penang Chapter); Iconic Hotel Penang; Hamari Enterprise Sdn. Bhd.; Fulian (M) Sdn. Bhd.; Datuk Lee Chee Wong (salah seorang penyumbang persendirian); ADUN dan Ahli Majlis.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN