Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Pusat Sukan Latihan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) bernilai RM2 juta yang siap dibina bakal memberi manfaat kepada pembangunan sukan bola tampar khususnya di negeri ini.
Pusat sukan terletak di Taman Buah Pala di sini dibangunkan pemaju, Nusmetro Ventures Sdn. Bhd. (Nusmetro) di atas tanah seluas 0.57 ekar (2,314 meter persegi) dengan keluasan lantai dewan serbaguna berjumlah 649 meter persegi secara keseluruhan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika merasmikan pusat latihan tersebut berkata , MSNPP akan dipertanggungjawabkan bagi menguruskan dewan tersebut sebagai sebuah pusat latihan sukan.
“Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan pihak Nusmetro yang membolehkan para atlet menjalani latihan tanpa perlu risau akan keadaan matahari terik atau pun hujan. Malah, mereka (atlet-atlet) juga boleh berlatih pada waktu malam kerana kebanyakan atlet negeri adalah pelajar sekolah menengah serta kolej.
“Adalah diharapkan dengan adanya kemudahan begini, sukan bola tampar dapat dibangunkan lagi di peringkat negeri bukan sahaja untuk masa terdekat menjelang Sukan Malaysia ke-16, malah, juga masa hadapan,” ujarnya ketika Majlis Perasmian Pusat Latihan MSNPP di Taman Buah Pala baru-baru ini di sini.
Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh dan mantan Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Lydia Ong Kook Fooi antara yang hadir pada upacara tersebut.