Pusat tidak pernah ambil iktibar insiden soalan periksa bocor – KM

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: MARK JAMES

PADANG KOTA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng membidas Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kerajaan Pusat yang tidak pernah mengambil iktibar ekoran insiden kebocoran soalan peperiksaan yang kerap kali berlaku saban tahun.

Beliau melahirkan kekesalan kerana, secara tidak langsung kejadian terbabit menyusahkan para pelajar tahun enam yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sehingga golongan berkaitan terpaksa menduduki ujian yang sama pada kali kedua.

“Jikalau Kerajaan Pusat menggunakan peruntukan masa menghukum orang yang terlibat seperti mana peruntukan masa diambil untuk menangkap pemimpin Pakatan Rakyat (PR) di bawah Akta Hasutan 1948, sudah tentu perkara seperti ini tidak akan berulang berkali-kali.

“Ini bukan kali pertama terjadi, perkara seperti ini sudah terjadi hampir 20 tahun dan sebelum ini peperiksaan lain seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) turut menerima masalah sama iaitu kebocoran soalan lebih awal,” ulasnya pada Majlis Pelancaran Aplikasi MyTeksi di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Melalui pendekatan MyTeksi, seseorang hanya perlu memuat turun aplikasi berkaitan dan memaklumkan lokasi sebenar ketika memerlukan perkhidmatan teksi dan harga tambang turut dipamerkan sebelum pengesahan perkhidmatan. Dalam tempoh masa kurang daripada lima minit, teksi yang berdaftar dengan dengan Syarikat MyTeksi Sdn. Bhd. akan tiba di lokasi dinyatakan.

Tambah Guan Eng, kebocoran di Malaysia tidak terhad kepada soalan peperiksaan semata-mata, bahkan projek-projek kerajaan juga bocor.

“Sebelum ini, bumbung Parlimen yang dibaiki banyak kali juga turut pernah bocor.

“Oleh itu, saya seru kepada Kerajaan Pusat supaya tanganilah masalah-masalah sebegini dengan baik kerana hal sedemikian boleh menjatuhkan martabat negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, pada sidang media sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan menyatakan sokongannya terhadap mantan Perdana Menteri,
Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung satu kenyataannya yang mengkritik syarikat pelaburan milik Kerajaan Pusat, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mencatatkan peningkatan hutang yang ketara dalam tempoh masa lima tahun ditubuhkan.

“Saya menyokong kritikan beliau (Mahathir), kerana secara jelas 1MDB kini telah berhutang sebanyak RM38 bilion dan adakah lama-kelamaan negara kita akan dibelenggu hutang keliling pinggang?

“Di sini juga kita lihat seperti macam ada budaya hutang, contohnya, hutang negara pada tahun 2007 sekitar RM266 bilion dan selepas tujuh tahun, ianya melonjak sekali ganda sebanyak RM542 bilion.

“Berbeza dengan Kerajaan Negeri yang hanya akan menggunakan dana dari lebihan untuk sesuatu projek dan kita (Kerajaan Negeri) berjaya mengurangkan hutang negeri dari RM600 juta kepada RM30 juta ketika mengambilalih dari kerajaan Barisan Nasional (BN),” jelasnya.