SEBERANG JAYA – Putrajaya sekali lagi digesa untuk saling bekerjasama dengan negara-negara maju yang mempunyai kemudahan teknologi moden dalam mengemaskini informasi amaran awal bencana, demi manfaat rakyat di tanah air ini.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, kelewatan mendapatkan amaran awal bencana daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengakibatkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak boleh melaksanakan lebih banyak persiapan menghadapi bencana, termasuk memindahkan penduduk berwajib sebelum kejadian banjir pada 15 September dan 4 November lalu.
“Macam bencana paling buruk dalam sejarah Pulau Pinang pada 4 dan 5 November, dia (MET Malaysia) beri amaran (awal bencana berada pada tahap) paling tinggi pada 9.30 malam, faksimili ke pejabat pun mana ada orang, pada hari Sabtu pula.
“Kita (Pulau Pinang) ada masalah apabila bertemu pemimpin negara-negara lain, mereka cakap mereka boleh saling berkongsi maklumat dengan Kerajaan Pusat sahaja, tidak boleh secara langsung dengan Kerajaan Negeri.
“Justeru, saya telah tulis surat untuk bertemu dengan Menteri terbabit di Putrajaya, mutu (kemas kini informasi amaran awal bencana) oleh Jabatan Meteorologi ini perlu lebih profesional, lebih awal, lebih tepat dan lebih baik,” responsnya kepada pemberita, selepas berucap dalam Majlis Jamuan Penghargaan Kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Bertugas Pasca Banjir di Kompleks Ibu Pejabat MPSP di sini 23 Disember lalu.
Penjelasan tersebut sekaligus menjawab soalan pemberita kononnya Kerajaan Negeri akan membangunkan sendiri satu sistem amaran awal bencana seperti dilaporkan dalam media tertentu baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Guan Eng sekali lagi mengumumkan bahawa ekoran bencana berkaitan, Kerajaan Negeri telah melaksanakan Program Pulau Pinang Bangkit termasuk pemberian RM33.9 juta atau RM700 secara ‘one-off’ kepada 48,424 mangsa yang terlibat dalam bencana banjir pada 4 dan 5 November lalu.
“Ini adalah peruntukan paling besar khas dalam negara untuk mangsa-mangsa bencana banjir baru-baru ini,” ujarnya.